IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang mencatatkan peningkatan sebanyak 161 kes atau 45.04 peratus indeks jenayah bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Mac, berbanding 111 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ekoran peningkatan kadar kes yang tinggi, IPD Sepang melancarkan Op Cegah Jenayah dengan mengadakan operasi besar-besaran sejak 21 Mac sehingga 5 April ini.
“Sejak Op Cegah Jenayah dijalankan indeks jenayah yang dicatatkan berada pada paras 45.30 peratus mula menunjukkan penurunan sehingga 35.56 peratus pada 31 Mac lalu.
“Selain itu, enam sekatan jalan raya turut dilakukan di lokasi utama, dengan sebanyak 14 Op Payung dijalankan.
“Malah Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan enam pasukan rondaan digerakkan menerusi Op Cantas bagi memburu 63 individu dikehendaki bagi jenayah trafik, jenayah komersial serta narkotik,” katanya pada sidang akhbar pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan taklimat kepada pegawai dan anggota seramai 100 orang yang terlibat dalam Op Cegah Jenayah.
Katanya, berdasarkan statistik, Balai Polis Putra Perdana mencatatkan kes jenayah tertinggi iaitu sebanyak 41 kes bermula 1 Januari hingga 31 Mac diikuti Balai Polis Cyber sebanyak 33 kes, Balai Polis Dengkil (32 kes), Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda (31 kes), Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi (27 kes), Balai Polis Sungai Pelek (16 kes) dan Balai Polis Sepang (tiga kes).
“Bagi tempoh bulan lalu sahaja, kawasan Putra Perdana mencatatkan sebanyak 16 kes jenayah harta benda membabitkan curi dalam bangunan, curi motosikal dan kenderaan serta pecah rumah.
“Sehubungan dengan itu, polis melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) secara statik bermula hari ini sehingga Rabu membabitkan enam lokasi berbeza di sekitar Putra Perdana ekoran peningkatan kadar kes jenayah yang dicatatkan di kawasan berkenaan.
“Pelaksanaan SJR selama tiga hari itu merupakan sebahagian daripada Op Cegah Jenayah yang dijalankan sejak 21 Mac lalu.
“Justeru, kita sasar kadar indeks jenayah bagi IPD Sepang di bawah paras 25 peratus sehingga operasi ini tamat pada Rabu,”ujarnya. – Edisi 9

