POLIS menyiasat video tular mengenai tindakan seorang lelaki tempatan yang menghalang penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Taman Kanagapuram, Petaling Jaya Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Polis menerima satu laporan daripada pihak MBPJ berkenaan video tular tersebut semalam.
Katanya, ketika penguat kuasa MBPJ menjalankan operasi penangkapan anjing liar, seorang lelaki tempatan cuba melindungi haiwan tersebut dengan memasukkan anjing-anjing itu ke dalam premisnya.
“Pengadu dan pasukan cuba menghalang lelami itu daripada menutup pintu premis namun pasukan operasi gagal melaksanakan tugas kerana dihalang lelaki tersebut.
“Lelaki itu tidak memberi kerjasama sewaktu operasi dijalankan dan terjadi pergelutan antara pasukan penangkap anjing dan lelaki berkenaan sehingga menyebabkan dia terkena batang rod,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menggalang penjawat awam melakukan tugas-tugasnya.
Justeru itu, pihak Polis menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah serta membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan jenayah boleh menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau mana-mana balai Polis berdekatan,” katanya. – Edisi 9

