PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalakkan industri perniagaan di Arab Saudi untuk melabur dalam bidang yang menjadi keutamaan di negara ini.
Ujar Anwar, tiga bidang itu ialah teknologi digital, sekuriti makanan dan infrastruktur.
Menurut beliau, perkara itu diperbincangkan dalam sesi pertemuan bersama kepala industri perniagaan yang terlibat dalam sektor perdagangan serta pelbagai sektor strategik Arab Saudi.
“Sekali lagi saya menyeru mereka untuk melabur di negara kita serta menjalinkan kerjasama dengan syarikat di Malaysia dan kerajaan komited untuk memudahkan setiap urusan ini.
“Saya juga galakkan mereka untuk melabur dalam bidang yang menjadi keutamaan Malaysia iaitu teknologi digital, sekuriti makanan dan infrastruktur.
“Semoga usaha ini dapat perkukuhkan lagi kerjasama Malaysia dan Arab Saudi,” katanya dalam Facebook hari ini.
Anwar kini mengadakan sesi lawatan rasmi buat julung kali ke Arab Saudi selama tiga hari yang bermula Rabu lalu.
Terdahulu, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan berkenaan dilakukan atas jemputan Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, Mohamad Salman Abdulaziz Al-Saud.
Arab Saudi merupakan rakan dagang dan sumber import paling besar Malaysia dalam kalangan rantau Asia Barat dengan pada tahun lalu mencecah RM45.52 bilion.
Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan Arab Saudi pada awal 1960-an malah Almarhum Raja Faisal pernah melakukan lawatan diraja ke negara ini pada 1970 lalu.
Ini diikuti dengan lawatan berikutnya oleh Almarhum Raja Abdullah pada 2006 dan kemudian pengganti baginda sendiri, Raja Salman pada 2017.
-EDISI9

