MENYAYAT hati… Itulah perasaan yang tidak dapat digambarkan apabila dua beradik lelaki warga Rohingya ditemukan mati lemas di sebuah lombong di Kampung Permatang Kedundung, Tikam Batu, Sungai Petani, hari ini.
Mayat mangsa dikenali sebagai Mamod Shukur Belal Hussain, 4, ditemukan pada pukul 8.05 pagi manakala abangnya, Muhammad Nazeri pula dijumpai jam 2.45 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Ketua lo Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9 malam.
“Sebaik menerima maklumat, bomba terus bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pihak bomba menemui pakaian dipercayai milik mangsa berdekatan lokasi kejadian sebelum melakukan usaha pencarian secara permukaan.
“Seorang mangsa lemas dijumpai dalam jarak kira-kira 400 meter daripada tebing lombong manakala abangnya pula 15 meter dari lokasi sama,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, kehilangan mereka disedari keluarga pada waktu maghrib sebelum mendapati dua beradik itu mandi di lombong berhampiran kediaman mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan kejadian.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat,” katanya. – Edisi 9

