Tuesday, June 16, 2026

KSN umum dua jawatan tertinggi MOF, KPPA

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DATUK Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MOF) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Manakala, Datuk Dr Zulkapli Mohamad dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu, sekali gus mengisi jawatan itu yang ditinggalkan kosong sejak Disember lalu.

Pengumuman pelantikan tersebut telah dibuat Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini.

Johan, 50, sebelum ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan sementara Zulkapli, 58, sudah berkhidmat selama 31 tahun dalam perkhidmatan awam itu.

Pelantikan kedua-dua pegawai tertinggi kerajaan itu turut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam kenyataannya, Mohd Zuki berkata, perlantikan Johan dibuat adalah berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepemimpinan dan pengalaman luas sepanjang memegang beberapa jawatan dalam bidang ekonomi, kewangan dan dasar.

“Saya berkeyakinan penuh dengan kelayakan, pengalaman dan kredibiliti beliau menggalas amanah serta mendokong misi dan visi dalam meneruskan kecemerlangan pengurusan kewangan dan ekonomi negara yang cekap, telus dan berkesan, selari hasrat Malaysia MADANI,” katanya.

Johan adalah lulusan kelas pertama dari University of Cambridge serta Akauntan Bertauliah dari Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tan Corporation Malaysia Berhad (TALENT CORP); Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Belanjawan MOF.

Sementara pelantikan Zulkapli pula, kata Mohd Zuki, ia berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan, serta pembangunan modal insan.

“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) di JPA, selain Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di SWCorp dan Setiausaha Persekutuan Sabah.

“Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti dimiliki, beliau mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANi,” katanya.

Zulkapli berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia (USM), selain Ijazah Sarjana Pembangunan Antarabangsa dari University of Japan dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi (Kewangan Antarabangsa) dari Universiti Meiji di Jepun.

Beliau mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam dengan jawatan pertama disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Latihan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 1 Disember 1992.

Jawatan KPPA kosong selepas perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah ditamatkan berkuat kuasa 12 Disember tahun lalu.

Ia susulan insiden tular kontroversi di antara Mohd Shafiq dengan pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Ogos lalu. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan