JABATAN Sukarelawan Malaysia (RELA) akan menggerakkan 500 anggota untuk membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam mengawal keselamatan di lima lokasi sempadan negara daripada diceroboh bermula tahun depan.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution, berkata ia sebagai sambungan kepada projek rintis sebelum ini di mana 90 anggota RELA terbabit dalam penugasan itu sejak November 2020.
Menurutnya, anggota terbabit akan ditempatkan di lima sempadan negeri seperti di Sabah, Sarawak, Kelantan, Selangor dan Perlis.
Untuk itu ujarnya lagi, selain pengetahuan mengenai undang-undang, anggota terbabit akan turut dibekalkan senjata api bagi memenuhi cabaran penugasan berkenaan.
“Ia sebahagian daripada usaha untuk mengangkat peranan jabatan terbabit. Dari sudut perancangan masa hadapan, RELA bersedia diberikan tugas lebih besar dan mencabar kerana ia menjadi hasrat serta harapan kepada jabatan,” katanya pada sidang media Lawatan Rasmi Menteri Dalam Negeri ke Ibu Pejabat RELA di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Dalam perkembangan kesiapsiagaan bencana sempena Monsun Timur Laut (MTL), Saifuddin berkata seramai 188,303 anggota RELA ditugaskan menjalankan rondaan dan penugasan di pusat pemindahan sementara (PPS) bermula 15 Oktober sehingga semalam.
Menurutnya, anggota ditugaskan di empat negeri terkesan banjir seperti di Pahang, Perak, Kelantan dan Johor.
Bagi Disember tahun ini pula, beliau berkata seramai 6,248 anggota terbabit dalam penugasan di PPS dan rondaan serta pemantauan MTL di seluruh negara.
“Jabatan ini akan sentiasa memberi keutamaan kepada aspek pembangunan sumber manusia dan kebajikan anggota selain meneruskan usaha meningkatkan tadbir urus kesukarelawanan,” katanya.
-EDISI9

