KERUSI P.040 Kemaman menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said daripada Barisan Nasional (BN) dicabar oleh penyandang, Che Alias Abd Hamid.
Turut menyerahkan borang pencalonan masing-masing ialah Hasuni Sudin daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rosli Ab Ghani.
Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal menyerahkan borang pencalonan beliau di Pusat Penamaan Calon di Dewan Intan Baiduri, Majlis Perbandaran Kemaman pukul 9.02 pagi.
Ini diikuti oleh Che Alias empat minit manakala Rosli pada pukul 9.12 pagi dan Hasuni empat minit kemudian.
Sehingga pusat penamaan calon ditutup tepat pukul 10 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menerima sebarang pencalonan lain, sekali gus mengesahkan hanya empat calon yang bertanding.
Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab ketika mengumumkan senarai calon yang disahkan bertanding berkata, beliau berpuas hati dengan calon-calon yang bertanding dan tiada pencalonan yang ditolak.
Dalam PRU-14 lalu, Che Alias menewaskan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan wakil PKR, Mohd Huzaifah Md Suhaimi dengan majoriti 2,163 undi.
Wakil Pas itu memperoleh 39,878 undi sementara Ahmad Shabery 37,715 undi manakala Mohd Huzaifah mendapat 12,911 undi. – Edisi 9