27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pilihan Pagoh dan perjuangan saya – Muhyiddin

Saya memilih untuk memimpin PN dalam PRU ini kerana saya tidak rela negara ini jatuh ke tangan puak kleptokrat.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

“SAYA dan Pagoh berpisah tiada,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) TAN Sri Muhyiddin Yassin.

“Hari ini saya menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding dalam PRU 15 bagi mewakili kawasan Parlimen P143 Pagoh, iaitu kali kesebelas saya masuk ke gelanggang pilihan raya di sini semenjak 1978.

“Pagoh dan masyarakatnya ada tempat istimewa di hati saya. Dalam sejarah politik saya selama lebih 40 tahun, saya tidak pernah berpindah ke kawasan Parlimen lain.

“Saya setia memberi khidmat kepada masyarakat di Pagoh, dan pengundi di Pagoh juga sentiasa setia memberi sokongan kepada saya di setiap kali pilihan raya. Terima kasih.

“Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu, ada penyokong saya menasihatkan supaya saya berpindah ke kawasan lain. Kononnya Pagoh tak selamat untuk saya. Tetapi saya katakan tidak.

“Biarlah apapun yang terjadi, saya dan Pagoh berpisah tiada.Saya telah mencapai kemuncak dalam kerjaya politik saya apabila dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8 pada 1 Mac 2020,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Jelasnya yang merupakan calon kerusi Parlimen Pagoh, apabila meletak jawatan pada 21 Ogos 2022, beliau mempunyai pilihan untuk bersara daripada politik dan itu adalah pilihan yang paling baik untuk diri dan keluarga.

“Orang kata “I’ve been there, done that”. “Perjuangan dan Amanah”Dua perkara inilah yang membuatkan saya terus gagahi segala kudrat ini demi rakyat yang saya sayangi.

“Saya masih memikul amanah sebagai pemimpin sebuah wadah politik yang saya asaskan iaitu BERSATU dan Perikatan Nasional.

“Wadah politik ini mempunyai prinsip perjuangan yang murni. Kerana itulah, walaupun saya telah bersara daripada jawatan Perdana Menteri, saya tidak boleh bersara daripada perjuangan.

“Saya akan dilihat tidak bertanggungjawab jika saya lari dari medan perjuangan semata-mata kerana saya tidak lagi berjawatan.

“Sukar. Memang sukar bagi diri saya untuk meneruskan perjuangan dalam keadaan ini. Banyak halangan dan cabaran yang terpaksa saya hadapi dalam memimpin sebuah gabungan parti politik besar yang membawa citra dan harapan murni rakyat malaysia, lebih-lebih lagi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Tetapi biasalah, itu adat orang berjuang.

“Insya-Allah, ini gelanggang PRU yang terakhir dalam perjalanan politik saya yang saya sertai kerana suatu tekad perjuangan. Saya memilih untuk memimpin PN dalam PRU ini kerana saya tidak rela negara ini jatuh ke tangan puak kleptokrat.

“Saya juga tidak mahu negara ini diperintah sekali lagi oleh sebuah pakatan politik yang gagal menunaikan janji kepada rakyat serta tidak menghormati sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita,”katanya.

Ujar beliau, Perikatan Nasional yang dipimpin menawarkan sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil untuk semua rakyat.

“Prihatin dengan ertikata sentiasa mempunyai rasa belas ihsan kepada rakyat serta tidak lokek membantu mereka ketika susah.

“Bersih dengan ertikata bebas daripada segala amalan rasuah dan penyelewengan. Stabil dengan memastikan kehidupan rakyat sentiasa aman, selamat dan harmoni serta mengelakkan daripada terjadinya perkara-perkara yang menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Ikhlas saya katakan, tiada apa yang saya nak kejarkan dengan jawatan Perdana Menteri itu. Jawatan tidak penting bagi saya.Kata orang kun fa yakun. Kalau jadi, maka jadilah. Kalau tak jadi pun, tak mengapa.

“Yang lebih penting ialah saya buat pilihan ini demi untuk menyelamatkan negara. Menawarkan Perikatan Nasional sebagai pilihan yang terbaik untuk anda semua. We are offering PN as the best option for all Malaysians.

“Anda juga berhak untuk membuat pilihan yang terbaik bagi diri, keluarga dan negara.

“Laksanakanlah tanggungjawab anda sebagai pengundi dan buatlah pilihan dengan jiwa yang sedar. Perikatan Nasional, Penyelamat Negara,”katanya. – Edisi 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan