PELAJAR sebuah sekolah menengah di daerah Kemaman, Terengganu gempar apabila salah seorang rakan mereka tiba-tiba terjatuh dari jejantas sekolah hari ini.
Akibat kejadian yang berlaku sekitar pukul 7.30 pagi itu menyebabkan pelajar perempuan tingkatan dua itu mengalami kecederaan parah pada bahagian pinggangnya.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, remaja perempuan berusia 14 tahun itu dikatakan baru selesai mengikuti sesi bacaan Yasin.
“Sewaktu kejadian, dia dikatakan sedang berjalan di jejantas yang menghubungkan dua blok bangunan sekolah terbabit di seberang jalan sebelum tiba-tiba terjatuh.
“Mangsa terjatuh pada ketinggian kira-kira 10 meter yang menyebabkan pinggangnya patah,” katanya hari ini, lapor Kosmo!.
Hanyan berkata, mangsa segera dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan.
Tambah beliau, siasatan lanjut berhubung insiden tersebut akan dilakukan dan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi.