KENAIKAN pinjaman Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.00 peratus tidak akan membebankan peminjam walaupun berlaku peningkatan terhadap kadar pinjaman yang perlu dibayar.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peningkatan OPR sebaliknya dijangka akan memanfaatkan deposit yang diwakili sebahagian besar golongan M40 menerusi peningkatan faedah dan keuntungan diterima pendeposit.
“Kenaikan 25 mata asas OPR kepada 2.00 peratus berbanding 1.75 peratus sebelum ini adalah masih rendah jika dibandingkan sebelum pandemik COVID-19, iaitu 3.00 peratus pada 2019.
“Oleh itu kadar 2.00 peratus bermakna dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang baru sahaja berputik.
“Ya, ia akan meningkatkan jumlah ansuran rumah tetapi tidak pada kadar yang membebankan,” katanya dalam temu ramah Ekonomi Malaysia Suku Pertama 2022 hari ini, lapor Astro AWANI.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberi jaminan bahawa ia akan dilakukan secara beransur jika OPR perlu dinaikkan lagi.
Ujarnya, ia bagi memastikan trend pertumbuhan ekonomi yang baru bermula, tidak terbantut.
“Bagi peminjam yang penting adalah proses pekerjaan yang terus pulih, di mana menerusi inisiatif Jamin Kerja, kerajaan komited untuk menyediakan lebih banyak pekerjaan kepada rakyat,” tambahnya.
Sejak 2011 hingga 2019, OPR berkadar antara 2.75 peratus kepada 3.25 peratus.
Namun bermula 2020, BNM menurunkan kadar itu kepada 1.75 peratus di tengah wabak COVID-19 yang menjejaskan ekonomi global.

