29.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Kaunter aduan bergerak PDRM disediakan untuk mangsa banjir

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan perkhidmatan kaunter aduan bergerak di semua pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memudahkan mangsa banjir membuat laporan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau telahpun mengarahkan semua Ketua Polis Daerah di kawasan-kawasan yang terjejas akibat bencana itu untuk mengambil laporan mereka secara manual.

“Ada beberapa balai yang menggunakan sistem laporan secara dalam talian dan tentu sekali apabila terjadinya banjir maka sistem kita juga mengalami gangguan teknikal.

“Justeru, saya telah arahkan semua Ketua Polis Daerah di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir ini, untuk pergi ke PPS jika mana-mana mangsa perlu membuat laporan, mereka akan membuat laporan di situ secara manual,” katanya dalam sidang media di pos kawalan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, lapor Astro Awani.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, beberapa aset PDRM juga telah digerakkan untuk membantu mangsa yang tidak dapat keluar dari rumah masing-masing atas sebab-sebab tertentu membuat laporan di tempat mereka.

Advertisements

“Untuk tujuan itu, kita akan menggunakan kenderaan peronda, Unit Rondaan Bermotosikal (URB),”katanya.

Dalam perkara berkaitan, beliau berkata, PDRM telah menerima tujuh laporan membabitkan pecah premis dan beberapa tangkapan telah dibuat.

“Sebanyak 30 pasukan cantas Jabatan Siasatan Jenayah PDRM melibatkan 120 pegawai dan anggota juga di tempatkan, khususnya di lokasi yang terjejas seperti Shah Alam bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang.

“Ada segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan mengatakan mereka terdesak dengan bekalan makanan yang terputus, malah makanan itu bukan untuk diri mereka bahkan untuk diagihkan kepada orang ramai.

“Maka kami menyediakan bekalan makanan yang mencukupi di semua pos kawalan dan mereka boleh mengambil bekalan mengikut keperluan tanpa mengira warga tempatan atau asing,” ujarnya.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bernas tanam padi pulut berskala besar di Langkawi

PADIBERAS Nasional Berhad (Bernas) melaksanakan projek penanaman padi pulut berskala besar membabitkan ladang sawah seluas 540 hektar di Langkawi,...

Lagi Artikel Berkaitan