SEORANG lelaki warga Pakistan yang menyamar sebagai doktor perubatan ditahan dalam satu serbuan di sebuah klinik swasta di Subang Bestari, Selangor kelmarin.
Serbuan bermula 11.52 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurut Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berdasarkan risikan yang dijalankan selama sebulan, pasukan operasi telah diatur gerak dan menyerbu sebuah premis dan menahan seorang lelaki warganegara Pakistan yang dipercayai menjalankan aktiviti sebagai ‘doktor tidak bertauliah’.
“Semakan awal mendapati lelaki tersebut tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JIM berkata, tangkapan itu merupakan kes keempat sejak 2024 yang dikesan membabitkan warga asing yang dipercayai menyamar atau menjalankan aktiviti sebagai “doktor tidak bertauliah” di negara ini.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya telah menyita peralatan perubatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan ini, cap nama saspek, cap nama klinik, tablet, buku rekod urusniaga, dokumen perakuan amalan tahunan (APC) dan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan premis klinik swasta untuk menjalankan aktiviti perubatan secara tidak sah.
“Klinik tersebut juga dipercayai dikendalikan oleh seorang warganegara asing yang tidak mempunyai kebenaran yang sah untuk bekerja dalam sektor perubatan di negara ini,” katanya.
JIM berkata, suspek dipercayai diambil bekerja oleh individu berkenaan bagi menjalankan tugas sebagai “doktor tidak bertauliah”.
“Bagi mengaburi pihak berkuasa dan meyakinkan pesakit, klinik tersebut dipercayai menggunakan dokumen Perakuan Amalan Tahunan (APC) serta kelayakan perubatan milik individu lain,” katanya.
Hasil pemeriksaan lanjut, klinik tersebut juga dipercayai mengeluarkan sijil cuti sakit (MC) tanpa melakukan pemeriksaan atau penilaian kesihatan kepada pelanggan yang hadir dan mengenakan bayaran sebanyak RM20 bagi setiap pelanggan.
Klinik tersebut dipercayai telah beroperasi selama lapan bulan.
Suspek ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Sek.6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, seorang wanita warga tempatan dberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara,” katanya.

