
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Sesungguhnya Islam adalah agama yang sangat memelihara nyawa manusia, bahkan ia merupakan antara tujuan utama syariat.
Pada hari ini, mimbar mengajak kita menghayati satu tajuk yang sangat penting dalam kehidupan masyarakat, iaitu: “Kaffarah dan Diyat: Solusi Buat Masyarakat.”
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Hari ini, kita semakin kerap dikejutkan dengan kejadian kemalangan maut yang meragut nyawa insan yang tidak berdosa.
Lebih menyedihkan apabila mangsa merupakan ketua keluarga yang menjadi tempat bergantung isteri dan anak-anak.
Kehilangan ini bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga, bahkan turut menggugat kesejahteraan masyarakat.
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Isra’ ayat 33 yang dibacakan tadi bermaksud:
“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).”
Islam amat memuliakan kesucian nyawa setiap manusia dan telah menetapkan satu kerangka keadilan yang menyeluruh.
Pendekatan ini bukan sahaja menuntut hak bagi jiwa yang terkorban, malah turut bertindak sebagai pembelaan yang menjamin hak dan ketenangan waris keluarga atas kehilangan yang mereka alami.
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Nisa’ ayat 92:

“Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar “diyat” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya)…”
Ayat ini menjelaskan bahawa dalam kes kematian yang berlaku secara tidak sengaja, Islam menetapkan dua tanggungjawab utama, iaitu diyat dan kaffarah.
Diyat merupakan pampasan kepada waris mangsa sebagai bentuk keadilan atas kehilangan yang dialami, manakala kaffarah pula merupakan ibadah yang mendidik pelaku agar insaf dan bertaubat kepada Allah SWT.
Ini menunjukkan bahawa Islam tidak hanya menghukum, bahkan menggabungkan unsur keadilan dan pendidikan jiwa.
Mekanisme ini bukan sekadar pampasan kewangan, bahkan merupakan satu instrumen keadilan yang mengiktiraf nilai nyawa manusia serta membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa.
Dalam konteks semasa, pendekatan ini dilihat wajar diteliti sebagai pelengkap kepada sistem sedia ada agar kebajikan waris dapat terus dipelihara secara lebih menyeluruh.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Dalam perkembangan semasa juga, pihak berautoriti agama melalui Menteri Hal Ehwal Agama telah menzahirkan keprihatinan terhadap isu ini.
Hak waris mangsa perlu diberikan perhatian sewajarnya, dan pendekatan diyat dilihat sebagai satu bentuk keadilan yang boleh diperkasakan dalam sistem sedia ada.
Dalam masa yang sama, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan turut menekankan bahawa selain diyat, konsep kaffarah merupakan satu tanggungjawab keagamaan yang wajib ditunaikan oleh individu yang menyebabkan kematian.
Inilah bukti sebenar-benar taubat seorang muslim berkait dengan pembunuhan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 92:

“…Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Perkara ini juga selari dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-150 telah membincangkan dan menetapkan kewajipan kaffarah bagi individu yang menyebabkan kematian.
Misalnya, kes kecuaian dalam kemalangan jalan raya, termasuk juga kes-kes buli yang membawa kepada kehilangan nyawa.
Di samping itu, mana-mana kematian akibat kecuaian, kejahilan atau perlanggaran prosedur juga diwajibkan untuk tunaikan kaffarah.
Kaffarah tersebut hendaklah dilaksanakan dengan memerdekakan hamba atau berpuasa selama dua bulan berturut-turut.
Sekiranya tidak mampu, maka digantikan dengan memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.
Ketetapan ini menunjukkan bahawa Islam bukan sahaja menuntut keadilan kepada mangsa, bahkan mendidik pelaku agar bertanggungjawab, bertaubat dan kembali kepada Allah SWT.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Sebelum mengakhiri khutbah, khatib ingin menyimpulkan beberapa perkara:
Pertama: Islam amat mengambil berat isu penjagaan nyawa. Nyawa ialah anugerah Allah SWT. Maka, jangan sekali-kali dipandang ringan atau diabaikan.
Kedua: Kaffarah dan Diyat ialah jalan kaedah Islam menegakkan keadilan bagi kes pembunuhan. Hal ini menunjukkan perihal nyawa ialah satu perkara yang amat dititikberatkan di dalam Islam.
Ketiga: Bertanggungjawablah dalam setiap tindakan yang kita lakukan, kerana setiap kecuaian dan kelalaian boleh membawa akibat yang besar, bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan turut menjejaskan orang lain.
Renungi hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Ibnu Umar radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

Maksudnya: “Seorang mukmin akan sentiasa berada dalam keluasan agamanya selagi dia tidak menumpahkan darah yang haram.”
Semoga kita semua tergolong dalam kalangan hamba Allah yang dipelihara, diberikan keselamatan dalam kehidupan, serta dikurniakan keampunan dan rahmat-Nya di dunia dan di akhirat.

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, 24 April 2026 bersamaan 6 Zulkaedah 1447.

