Saturday, June 13, 2026

Kenaikan harga minyak isu global, perlu tangani bersama

Isu ini perlu ditangani bersama baik dari kerajaan mahupun pembangkang untuk kebaikan rakyat, bukan menunggang isu untuk memperbodohkan pemikiran rakyat - Dr Akmal Saleh

Mesti Baca

ISU kenaikan harga minyak merupakan isu global yang perlu ditangani secara bersama, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, sejak dahulu memang peningkatan harga minyak bukan disebabkan kerajaan sesuka hati untuk menaikkannya.

Namun, menurutnya, ia akibat peningkatan harga minyak di pasaran dunia.

“Walaupun pembangkang ketika pemerintahan BN (Barisan Nasional) dahulu mengkritik dan menghina kerajaan akibat kenaikan harga minyak ketika itu, tetapi bagi kami isu kenaikan harga minyak ini adalah isu global yang perlu ditangani bersama baik dari kerajaan mahupun pembangkang untuk kebaikan rakyat, bukan menunggang isu ini untuk memperbodohkan pemikiran rakyat,” katanya hari ini.

Sehubungan dengan itu, Dr Akmal berkata, Pemuda UMNO akan menganjurkan sekali lagi Rundingan Meja Bulat Nasional 2.0 (RIMBUN 2.0) dalam tempoh terdekat.

Jelas beliau, ini bagi menghimpunkan pakar-pakar ekonomi, profesional minyak dan gas serta para pemain industri yang terlibat daripada kenaikan harga minyak.

“(Ini membolehkan) Untuk kita duduk bersama dan kita bincangkan cadangan yang boleh diangkat kepada pihak kerajaan untuk kebaikan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut menjemput semua pihak untuk hadir termasuklah dari parti kerajaan mahupun pembangkang, bagi mendengar dan berbincang bersama dengan hati dan pemikiran yang terbuka.

“Ini bukan masa untuk pemimpin bergaduh, ini masa untuk kita buat satu keputusan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

“Kami tidak janji kosong, tapi kami bawakan solusi yang terbaik untuk kita semua. Insya-Allah, kita jumpa di RIMBUN 2.0,” katanya. 

Harga minyak tanpa subsidi di pasaran terus melonjak untuk tempoh seminggu ini ekoran krisis Asia Barat yang berlarutan.

Kementerian Kewangan dalam pengumumannya semalam berkata, RON 97 naik 60 sen kepada RM5.15 seliter manakala diesel tanpa subsidi melonjak 80 sen kepada RM5.52 sen seliter.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, hampir 50 peratus keperluan minyak di negara ini diimport dari Asia Barat bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan.

Justeru, penutupan Selat Hormuz ekoran peranga Iran-Amerika Syarikat dan Israel kini menjejaskan bekalan minyak dunia, sekali gus melonjakkan harga bahan itu di psaran. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan