
LANGKAH Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat, digantung atau yang masih berada di luar parti untuk kembali ke pangkuan UMNO tanpa syarat adalah satu tindakan yang menuntut jiwa besar.
Dalam politik yang sering sarat dengan dendam dan ego, pendekatan sedemikian bukanlah satu usaha yang mudah.
Namun itulah yang sedang dilakukan oleh pemimpin nombor satu UMNO atas semangat “Rumah Bangsa” yang beliau cetuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2025.
Konsep itu bukan sekadar slogan. Ia adalah seruan agar orang Melayu yang berpecah akibat persaingan politik kembali mencari titik persamaan demi kelangsungan masa depan mereka dengan bermula dalam kalangan mereka yang pernah berada dalam perjuangan sama sebelum ini.
Zahid juga tidak menutup telinga terhadap suara generasi muda. Pandangan beberapa pihak yang mendesak penyatuan Melayu diberi perhatian.
Malah cadangan untuk memperluaskan pendekatan politik melalui gagasan Kolaborasi Agung, menggantikan idea Muafakat Nasional 2.0, memperlihatkan kesediaan UMNO mencari formula baharu yang lebih realistik dalam landskap politik semasa.
Lebih menarik, inisiatif Musyawarah Isu-isu Agama, Melayu dan Bumiputera yang telah dimulakan turut membuka ruang dialog antara parti-parti berasaskan Melayu-Islam-Bumiputera.
Di sinilah kita melihat Pas dan Amanah boleh duduk semeja dalam satu forum bagi membincangkan kepentingan umat.
Ini bukan perkembangan kecil. Ia memperlihatkan bahawa pintu perbincangan masih boleh dibuka walaupun perbezaan politik sering kali kelihatan terlalu tajam.
Hakikatnya, usaha ini bukan kerana UMNO semakin lemah atau kehilangan sokongan. Sebaliknya, inilah asas perjuangan parti itu sejak penubuhannya – menyatukan orang Melayu bagi mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
Namun persoalan besar kini bukan lagi pada UMNO. Persoalannya ialah apakah orang Melayu sendiri bersedia untuk bersatu?
Jika usaha penyatuan ini terus dipandang sinis atau ditolak mentah-mentah, ia memberi gambaran yang amat menyedihkan.
Bukan kerana tiada usaha dilakukan, tetapi kerana hati sesama Melayu telah terlalu keras, dibaluti kebencian politik yang begitu menebal.
Realitinya hari ini, orang Melayu berpecah kepada terlalu banyak parti. Persaingan politik yang tidak berkesudahan akhirnya melemahkan kedudukan mereka di tanah air sendiri.
Sejarah telah berkali-kali mengajar bahawa kekuatan Melayu terletak pada kesatuan. Sebaliknya, perpecahan hanya mengundang kelemahan sehingga ada pihak lain yang mengambil kesempatan.
Justeru, usaha yang digerakkan oleh UMNO melalui konsep Rumah Bangsa wajar dilihat sebagai satu pintu yang sedang dibuka.
Persoalannya, adakah orang Melayu sanggup melangkah masuk ke dalam rumah tersebut atau terus memilih untuk bertelagah di luar pintu? — Edisi 9

