GENG Plastik Ija (GPI), sebuah NGO alam sekitar di Kemaman, Terengganu berjaya mengumpulkan sebanyak 21.9 tan pakaian terpakai bagi tujuan kitar semula dalam satu kempen yang diadakan baru-baru ini.
Menurut GPI, jumlah tersebut dua kali ganda daripada sasaran awal iaitu 10 tan, sejak kempen tersebut dimulakan 26 Januari sehingga 8 Februari lalu.
“Kita mengharapkan sumbangan 10 tan pakaian terpakai untuk tujuan kitar semula, menyamai program pertama yang dijalankan tahun lepas.
“Tapi syukur Alhamdullilah, sambutan dan sumbangan dari komuniti amat-amat luar biasa. Penuh tiga lori pakaian terpakai dapat kita kumpul dengan berat kutipan 21.9 tan,” kata GPI menerusi Facebook semalam.
GPI berkata, pihaknya berterima kasih kepada komuniti setempat yang datang memberikan sumbangan bertali arus, tanpa mengira siang mahupun malam.

Katanya, GPI menyediakan dua pusat pengumpulan baju terpakai tersebut iaitu di stor GPI di Kerteh, Kemaman dan stor Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Intan, Dungun.
GPI turut berterima kasih kepada keluarga GPI serta pertubuhan AsnafCare serta KRT Taman Sri Intan yang membantu menjayakan kempen tersebut.
“Semua hasilnya nanti akan digunakan oleh team AsnafCare dalam menjalankan aktiviti-aktiviti untuk kesejahteraan komuniti asnaf berhampiran,” katanya.
Untuk rekod GPI merupakan NGO yang aktif menjalankan kempen pembersihan pantai di negeri Terengganu, terutama di sekitar daerah Kemaman dan Dungun. — Edisi 9

