24.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 12, 2024

UM dan pelajar VI anjur program kitar semula

Mesti Baca

DALAM usaha memperkukuhkan kesedaran alam sekitar dan pengurusan sisa yang betul di kalangan pelajar sekolah, sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) berkolaborasi dengan Pusat Jalinan Masyarakat UM (UMCares) dan DIALOG ESECO Sdn Bhd mengadakan program pembangunan insan berkaitan ilmu dan kemahiran mengitar semula yang betul.

Program yang diberi nama Asimilasi Pengurusan Sisa yang Betul, Habit Kitar Semula, dan Kitar Tinggi dalam Kalangan Komuniti Sekolah Menengah ini membabitkan beberapa sekolah di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Program inovatif yang julung kali diadakan ini telah dilaksanakan bersama murid-murid di Victoria Institution, Kuala Lumpur.

Secara khususnya, program ini berusaha untuk membudayakan tabiat pengurusan sisa yang betul dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Ia juga memberi tumpuan kepada pengurangan penggunaan plastik, bagi membantu negara mencapai tahap 40 peratus pengitaran semula menjelang tahun 2025, dan mencapai status negara neutral karbon pada tahun 2050.

Ketua Penyelidik program, Dr Asbah Razali berkata, mereka ingin memberi pendedahan dan kesedaran awal kepada pelajar berkaitan dengan amalan pengurusan sisa dan kitar semula yang betul.

“Kami percaya bahawa membudayakan kesedaran ini dalam kalangan generasi muda adalah kunci untuk masa depan yang lebih lestari,” katanya dalam satu kenyataan.

Advertisements

Program ini menyaksikan penyertaan seramai 130 orang pelajar dari Victoria Institution, termasuk pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 4.

Selama program berlangsung, pelajar diberi peluang untuk memahami amalan pengurusan sisa yang betul melalui pelbagai aktiviti yang menarik.

Salah satu perkara menarik dalam program ini adalah seminar pendidikan oleh Pengarah Eksekutif DIALOG ESECO Sdn Bhd, Dr S Sri Umeswara.

Seminar ini memberi pelajar pendedahan awal berkaitan dengan pengurusan sisa dan ekonomi kitaran.

Pelajar juga berpeluang mengikuti eksperimen sains dan kimia di makmal sekolah, termasuk eksperimen kitar semula kertas dan plastik.

Kemuncak program adalah pengumpulan bahan buangan ke dalam trak khusus yang disediakan oleh DIALOG ESECO Sdn Bhd. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kemenangan Sock Tao bukti rakyat tolak politik kebencian

KEMENANGAN calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao dari Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu...

Lagi Artikel Berkaitan