Monday, June 15, 2026

Pasport terbang: 20 pegawai Imigresen sudah dibuang kerja

Bagi tempoh 2022 hingga 2025, seramai 41 orang pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati terlibat dalam kes berkaitan pasport terbang.

Mesti Baca

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawainya yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung dakwaan aktiviti pasport terbang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepertimana kenyataan media agensi itu pada 19 Januari lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan terhadap pegawai terlibat selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. 

Beliau berkata, langkah itu mencerminkan pendirian tegas JIM  yang tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku, khususnya melibatkan integriti dan kepercayaan awam.

“JIM menghormati peranan dan fungsi EAIC sebagai badan pemantau integriti agensi penguatkuasaan, serta memandang serius setiap dapatan dan syor yang dikemukakan.

“Sehubungan itu, Jabatan telah dan sedang mengambil tindakan susulan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan perkhidmatan awam dan mekanisme tatatertib yang berkuat kuasa,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, sebagai gambaran komitmen berterusan pihaknya  menangani isu tersebut, bagi tempoh 2022 hingga 2025, seramai 41 orang pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati terlibat dalam kes berkaitan pasport terbang.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 20 orang pegawai telah dijatuhkan hukuman buang kerja selepas disabitkan dengan kesalahan.

“Tindakan ini diambil hasil siasatan dalaman yang telus dan berlandaskan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan, setiap kes yang dirujuk oleh EAIC akan diteliti secara menyeluruh dan ditangani dengan serius tanpa sebarang kompromi. 

Katanya, bagi tahun 2025 sahaja, sebanyak 61 kes telah dirujuk oleh EAIC dan kesemua kes terlibat dibawa ke Mesyuarat Jawatakuasa Aduan dan diambil tindakan selaras dengan proses serta peruntukan tatatertib yang berkuat kuasa. 

Pendekatan ini, kata beliau, mencerminkan komitmen berterusan JIM terhadap prinsip akauntabiliti, integriti dan tadbir urus yang baik.

“JIM akan terus memperkukuh pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), meningkatkan pemantauan dalaman serta melaksanakan langkah penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan perkhidmatan imigresen dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan selari dengan peraturan yang ditetapkan, demi memelihara kepercayaan rakyat dan kepentingan negara,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan