TIGA pusat penjagaan kanak-kanak atas label Al-Kauthar Eduqids diambil tindakan LAK oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana didapati tidak berdaftar sebagai operator Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.
JKM berkata, ketiga-tiga pusat penjagaan melibatkan Taska, Tadika dan perkhidmatan pemulihan/terapi kanak-kanak OKU beroperasi di Seksyen 3 dan Kota Kemuning di Shah Alam serta di Prima Puchong.
Sehubungan itu, katanya, siasatan turut melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi tujuan semakan dan tindakan selanjutnya.
Menurut JKM, hasil siasatan pihaknya juga mendapati premis pusat-pusat tersebut juga berada dalam keadaan yang tidak memuaskan, tidak kondusif dan tidak memenuhi ciri keselamatan yang sewajarnya.
“Bagi isu yang melibatkan dakwaan penderaan kanak-kanak, perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kini berada di bawah siasatan polis.
“JKM Negeri Selangor akan mengadakan pertemuan dengan pihak Al-Kauthar Eduqids bagi mendapatkan penjelasan lanjut,” kata JKM dalam satu kenyataan hari ini.
Jabatan berkata, siasatan telah dijalankan ke atas kesemua premis terbabit setelah mendapat aduan awam berhubung dakwaan pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang tular dalam media sosial.
Ekoran itu, JKM menegaskan bahawa aspek keselamatan, perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak merupakan keutamaan tertinggi dalam penyediaan perkhidmatan
penjagaan kanak-kanak di negara ini.
“JKM merakamkan penghargaan dan menyambut baik sikap prihatin serta cakna masyarakat khususnya ibu bapa yang tampil menyalurkan maklumat berhubung kebajikan dan keselamatan kanak-kanak.
“Kerjasama ini amat penting dalam memastikan persekitaran asuhan yang selamat dan kondusif,” katanya.
JKM turut menyarankan agar ibu bapa untuk memilih premis Taska yang berdaftar kerana ia tertakluk kepada pematuhan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, termasuk standard minimum keselamatan, kebersihan, kemudahan fizikal serta nisbah pengasuh yang ditetapkan.
Katanya, JKM akan terus komited melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang.
“Kerjasama erat antara ibu bapa, komuniti dan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara dan tidak dikompromi,” katanya. – Edisi 9

