Monday, June 15, 2026

Demi survival, UMNO perlu berani berubah – Nurul Amal

UMNO tidak boleh terus bergantung kepada tradisi lama semata-mata, sebaliknya perlu melalui proses evolusi politik...

Mesti Baca

PERGERAKAN Puteri UMNO menegaskan bahawa kelangsungan dan survival UMNO hanya boleh dicapai melalui keberanian untuk berubah, ketegasan mempertahankan prinsip serta keupayaan menyesuaikan diri dengan realiti politik semasa.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, berkata, UMNO tidak boleh terus bergantung kepada tradisi lama semata-mata, sebaliknya perlu melalui proses evolusi politik agar kekal relevan dan kembali mendapat kepercayaan rakyat, khususnya generasi muda.

Berucap dalam Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, beliau menegaskan Puteri UMNO hari ini bukan sekadar pewaris perjuangan, tetapi pencorak masa depan parti.

“Politik adalah persepsi dan persepsi membentuk realiti. Survival UMNO tidak boleh bergerak melalui tradisi semata-mata, tetapi mesti melalui evolusi. Jika tidak, UMNO bukan sekadar ketinggalan, malah terpinggir daripada gelanggang perjuangan,” katanya.

Menurut beliau, Puteri UMNO membawa suara generasi muda yang menuntut kejelasan, kejujuran dan keberanian dalam kepimpinan politik, termasuk keberanian untuk bercakap benar, bertindak dan membuat keputusan yang tepat demi kepentingan rakyat.

Menyentuh soal kerjasama politik, Nurul Amal menegaskan bahawa Puteri UMNO tidak menolak realiti gabungan, namun mengingatkan agar sebarang kerjasama tidak menggadaikan maruah, prinsip dan identiti UMNO.

“Gabungan boleh berlaku, tetapi prinsip UMNO tidak boleh dikompromi. UMNO mesti hadir dalam sebarang kerjasama sebagai rakan yang dihormati, relevan dan membawa nilai serta solusi kepada rakyat,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa UMNO ditubuhkan bukan semata-mata untuk kuasa, tetapi untuk menjaga maruah Melayu dan kestabilan negara, dengan kepercayaan rakyat sebagai asas perjuangan yang tidak boleh digugat.

Dalam ucapannya, Nurul Amal turut mengangkat isu wanita muda, khususnya diskriminasi di tempat kerja, ketidaksamaan gaji, peluang kenaikan pangkat serta isu gangguan seksual yang masih membelenggu golongan wanita.

“Puteri UMNO akan terus memastikan suara wanita muda bukan sahaja didengar, tetapi diambil serius. Mekanisme perlindungan dan penguatkuasaan perlu diperkukuh supaya setiap aduan ditangani secara adil, telus dan selamat,” katanya.

Mengulas persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau mengingatkan parti agar tidak bertindak terburu-buru dalam menentukan strategi dan pemilihan calon, sebaliknya fokus kepada kekuatan sebenar parti serta pengurusan sumber secara berhemah.

“Bukan semua gelanggang perlu diterjah dan bukan semua perang perlu direndah. Kemenangan lahir daripada strategi, bukan sekadar keberanian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nurul Amal sekali lagi menggesa kepimpinan tertinggi UMNO agar mempertimbangkan cadangan menaikkan had umur Puteri UMNO kepada 40 tahun, bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan mengelakkan kehilangan bakat muda yang telah dilatih dalam sayap parti.

“Ini bukan soal legasi, tetapi soal survival Puteri UMNO untuk jangka panjang,” katanya.

Mengakhiri ucapan, beliau menyeru seluruh ahli Puteri UMNO agar terus setia, berani bermuhasabah dan bangkit bersama memperkukuh parti.

“Survival UMNO bukan sekadar memastikan parti ini tidak mati, tetapi beradaptasi untuk kembali relevan. Kami sayangkan UMNO dan kesetiaan ini akan terus utuh,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan