SENHENG New Retail Berhad (Senheng), salah satu peruncit elektronik pengguna terbesar di Malaysia memperkenalkan model perniagaan ekonomi berasaskan perniagaan (PBE), strategi transformasi disruptif yang direka untuk mengangkat S-Coin menjadi enjin ganjaran dan penglibatan pusat.
Pengarah Urusan Senheng, Lim Kim Heng berkata, strategi itu bagi menangani cabaran utama yang dihadapi oleh sektor runcit, termasuk kelembapan pendapatan, persaingan sengit, prestasi e-dagang yang lemah dan tekanan margin.
“PBE menandakan langkah penting dalam transformasi Senheng seterusnya dan mencerminkan kepercayaan kami bahawa model ini dapat membentuk semula bagaimana industri runcit elektronik pengguna Malaysia mencipta dan mengekalkan nilai.
“Ia merupakan pendekatan yang berdisiplin dan berstruktur untuk membina semula permintaan, mengukuhkan cadangan nilai kami, dan meningkatkan kualiti pendapatan, semuanya sambil mengekalkan tumpuan yang jelas terhadap kemampanan jangka panjang,” katanya hari ini.
Kim Heng berkata, PBE merupakan fasa transformasi kesembilan Sengheng iaitu sebahagian daripada strategi Hala Tuju Perniagaan Flywheel 2.0 2026.
Menurutnya, ia bertujuan membina semula permintaan, meningkatkan prestasi digital, mengukuhkan keuntungan dan meningkatkan kecekapan operasi dalam persekitaran runcit yang sangat kompetitif.
Ketua Pegawai Strategi Korporat Senheng, Lim Yau Young berkata, PBE memainkan peranan penting dalam meningkatkan nilai sepanjang hayat pelanggan, menurunkan kos pemerolehan dan memperkukuh daya tahan margin.
“Kami meletakkan asas yang lebih kukuh untuk pertumbuhan masa hadapan sambil menavigasi landskap runcit yang mencabar.
“Secara keseluruhan, matlamat kami adalah untuk memberikan tahap kepuasan pelanggan yang tertinggi dengan setiap pengalaman membeli-belah,” katanya.
Melalui PBE dan Flywheel 2.0, Senheng berhasrat untuk memperkukuh kedudukan pasarannya dengan mengintegrasikan data, teknologi dan inisiatif yang berpusatkan pelanggan ke dalam model operasi yang lebih tangkas dan berdaya tahan.
Senheng kekal komited untuk memberikan nilai kepada pelanggan dan pemegang saham sambil menyesuaikan diri dengan tingkah laku pengguna dan keadaan pasaran yang sentiasa berubah. — Edisi 9

