Wednesday, July 22, 2026

Agong zahir nasihat kepada PTD baharu agar jaga integriti

Kepemimpinan yang berintegriti bermula dari peringkat tertinggi dan PTD hendaklah menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus serta bertanggungjawab. 

Mesti Baca

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Azhan Md Othman yang baharu dilantik ke jawatan itu agar berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.

Seri Paduka Baginda bertitah menegaskan, rasuah merupakan musuh utama kepada kekuatan dan kredibiliti angkatan pertahanan negara dan sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali. 

Seri Paduka Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjelaskan, kepemimpinan yang berintegriti bermula dari peringkat tertinggi dan PTD hendaklah menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus serta bertanggungjawab. 

Sultan Ibrahim, menzahirkan harapan agar Tentera Darat Malaysia (TDM) terus dihormati dan diyakini rakyat sebagai sebuah angkatan yang profesional serta bebas amalan rasuah demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

“Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menegaskan mengenai ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan…, sepatutnya mereka semua ini tidak boleh dibenarkan masuk,” titah Seri Paduka Baginda seperti dimuatkan dalam Facebook rasmi Baginda hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Azhan yang dilantik sebagai PTD Ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu, di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur hari ini.

Pelantikan tersebut selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025 dan diperkenankan Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.

Majlis Pemakaian Pangkat Panglima Tentera Darat disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur semalam.

Majlis disaksikan Pemangku Panglima Angkatan Tentera Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain. 

Azhan, 57, yang dilahirkan di Muar, Johor memulakan kerjaya ketenteraan selepas mengikuti Latihan Pegawai Kadet di Sungai Besi pada 1987 dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Rejimen Askar Melayu Diraja pada 29 Julai 1989. 

Sepanjang perkhidmatan, beliau memegang pelbagai jawatan penting di peringkat TDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali gus membentuk kepimpinan serta profesionalisme ketenteraan yang kukuh.

Kewibawaan beliau terserlah melalui pelantikan sebagai Pegawai Memerintah Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja, Komander Batalion Siap Sedia Tentera Darat, Komander MALBATT 850-6 dan Panglima Ke-2 Divisyen Infantri Malaysia. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan