DEWAN Undangan Negeri (DUN) Perlis menarik balik permohonan diadakan pilihan raya kecil (PRK) di tiga kerusi di Chuping, Bintong dan Guar Sanji yang sebelum ini diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, walaupun tiada berlakunya PRK, kerusi berkenaan akan kekal dibiarkan kosong sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan mutakhir termasuk pendirian PAS selaku parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang memberi jaminan akan terus komited mengekalkan kelangsungan dan kestabilan kerajaan negeri Perlis.
“Sebelum ini, saya sudah menghantar notis pemakluman kepada SPR Perlis pada 29 Disember lalu memaklumkan bahawa tiga ADUN Pas iaitu ADUN Chuping, Saad Seman, ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim didapati tidak layak menjadi ahli Dewan mengikut Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
“Notis pemakluman itu turut menyatakan keperluan mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi kekosongan luar jangka selaras Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis,” katanya hari ini.
Pada 25 Disember lalu, Rus’sele mengisytiharkan kerusi Chuping, Bintong dan Gual Sanji kosong dan perlu diisi semula menerusi PRK demi kestabilan kerajaan negeri dan kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, er DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, beliau akan menggunakan budi bicara yang diperuntukkan melalui proviso kepada Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis untuk memaklumkan secara bertulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Negeri adalah terjejas oleh sebab tiga kekosongan luar jangka itu.
“Saya akan meminta SPR mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi tiga kekosongan luar jangka tersebut,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, satu pemakluman diterima daripada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan bahawa Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang semalam telah membuat ketetapan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) dan (d) Perlembagaan Pas, bahawa tiga orang Ahli Badan Perundangan Pas yang berikut adalah “terhenti serta-merta keahlian sebagai ahli Pas.”

