Thursday, July 23, 2026

Mas Ermieyati pertahan keputusan tidak letak jawatan

Dakwaan bahawa pelantikan Pengerusi PN Negeri dan jawatan-jawatan lain terbatal secara automatik susulan peletakan jawatan Pengerusi PN Pusat adalah kurang tepat. 

Mesti Baca

AHLI Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidak bercadang untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan PN Melaka susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi gabungan parti itu mulai esok.

Beliau yang juga Pengerusi Wanita PN Pusat berkata, ini kerana pelantikan beliau sebagai Pengerusi PN Negeri adalah keputusan bersama Majlis Tertinggi PN melalui mesyuarat.

“Dakwaan bahawa pelantikan Pengerusi PN Negeri dan jawatan-jawatan lain terbatal secara automatik susulan peletakan jawatan Pengerusi PN Pusat adalah kurang tepat. 

“Pelantikan semua jawatan dalam Perikatan Nasional sama ada di peringkat pusat atau negeri (tanpa menghilangkan langsung penghargaan tertinggi saya terhadap jasa Tan Sri Muhyidin yang memberikan kepercayaan kepada saya) adalah berdasarkan keputusan bersama Majlis Tertinggi PN melalui mesyuarat, walaupun pencalonan dibuat oleh parti komponen berdasarkan kesesuaian dan konteks setempat,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas desakan agar meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Melaka susulan peletakan jawatan Muhyiddin sepertimana diumumkan semalam.

Ekoran itu empat Pengerusi PH Negeri bertindak meletakkan jawatan iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Selangor), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak), Datuk Dr Sahruddin Jamal (Johor) dan Mohd Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan)

Mas Ermieyati berkata, PN Melaka kini sedang berada dalam fasa persiapan penting bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri yang dijangka berlangsung dalam tempoh beberapa bulan akan datang. 

Kata beliau, kesinambungan dan kerjasama erat kepimpinan amat penting bagi memastikan gerak kerja, penyusunan jentera dan strategi dapat berjalan dengan tersusun serta berkesan. 

“Sebarang perubahan mendadak hanya berisiko melemahkan momentum yang sedang dibina bersama,” katanya. — Edisi 9 

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan