Tuesday, June 16, 2026

TDA beri pengiktirafan kepada 18 agensi kerajaan, rakan strategik

TDA bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan ICP dalam perolehan kerajaan bernilai tinggi yang memerlukan pemindahan teknologi, pembangunan keupayaan serta penglibatan industri tempatan.

Mesti Baca

SEBANYAK 18 agensi kerajaan dan rakan strategik industri menerima pengiktirafan daripada Technology Depository Agency Berhad (TDA) atas sumbangan cemerlang mereka dalam pembangunan teknologi serta usaha memperkukuh keupayaan industri tempatan.

Pengiktirafan tersebut diberikan kepada organisasi yang menunjukkan kepimpinan, inovasi dan komitmen tinggi dalam menjayakan pelaksanaan Program Kolaborasi Industri (ICP) dan Kontrak Berasaskan Pencapaian Prestasi (PBC), dua mekanisme nasional yang menjadi tonggak kepada pemerolehan teknologi strategik dan pemerkasaan industri tempatan.

Sebagai agensi pelaksana pusat yang dilantik kerajaan, TDA bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan ICP dalam perolehan kerajaan bernilai tinggi yang memerlukan pemindahan teknologi, pembangunan keupayaan serta penglibatan industri tempatan.

Pendekatan ini memastikan perolehan kerajaan bukan sekadar memenuhi keperluan operasi, malah memberi impak sosioekonomi jangka panjang kepada negara.

Dalam aspek PBC pula, TDA memacu peralihan daripada kaedah perolehan tradisional kepada kontrak berasaskan hasil, di mana pembayaran dan tanggungjawab kontraktor ditentukan oleh pencapaian penunjuk prestasi yang dipersetujui. 

Model ini terbukti meningkatkan kecekapan, menggalakkan inovasi dan memastikan aset kerajaan memberikan nilai optimum sepanjang kitar hayatnya.

Majlis penyampaian anugerah tersebut diadakan sempena ulang tahun ke-10 penubuhan TDA baru-baru ini yang disempurnakan oleh bekas Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Menurut Hui Ying, pengiktirafan berkenaan membuktikan kepentingan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh keupayaan teknologi serta perindustrian negara.

“Pencapaian agensi dan rakan kerjasama ini menunjukkan bagaimana usaha sama strategik dan inovasi mampu mendorong hasil yang signifikan untuk negara,” katanya.

Antara penerima pengiktirafan ialah Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Prasarana Malaysia Berhad serta Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara.

Turut menerima pengiktirafan ialah pemain industri utama seperti Galaxy Helicopters (M) Sdn. Bhd., Universiti Kuala Lumpur (UniKL), CRRC Zhuzhou Locomotives Co. Ltd., Alstom Transport Systems Malaysia, Meiden Malaysia Sdn. Bhd., Truckquip Sdn. Bhd., SMH Rail Sdn. Bhd. dan Siemens Mobility Sdn. Bhd.

Pengiktirafan tersebut mencerminkan peranan berterusan TDA sejak penubuhannya pada 2015 dalam merapatkan jurang antara penyelesaian teknologi dan keperluan kerajaan, selain menyokong agenda pembangunan ekonomi serta industri negara secara mampan. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan