BEREGU wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah serta beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menempah slot ke separuh akhir lebih awal apabila memenangi perlawanan kedua masing-masihg pada kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China sebentar tadi.
Pearly-Thinaah yang juga pilihan pertama, mengenepikan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam Kumpulan A.
Pasangan negara yang masih segar dengan kalungan emas Sukan SEA di Bangkok beberapa hari lalu menundukkan lawan 21-13, 21-18 dalam masa 52 minit.
Dalam perlawanan ketiga esok, Pearly-Thinaah akan bertemu satu lagi pasangan Jepun Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto yang sedang memburu satu lagi slot ke separuh akhir dari Kumpulan A.
Sementara itu Tan Jie-Ee Wei pula menundukkan pasangan Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu dalam Kumpulan B.
Pasangan negara yang juga juara dunia bangkit pada set kedua dan ketiga untuk menumbangkan jaguh Indonesia dengan kemenangan 17-21, 21-14, 21-15 dalam masa 1 jam 5 minit.
Dalam pada itu, peluang satu lagi pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai sudah tertutup selepas mengalami kekalahan kedua, kali ini di tangan jaguh tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu memberi tentangan sengit sebelum tunduk kepada pilihan kedua kejohanan itu dengan 25-23, 11-21, 20-22 dalam Kumpulan B.
Semalam, Soon Huat-Shevon akur dengan rakan senegara, Tan Jie-Ee Wei 13-21, 13-21.
Pertemuan ketiga antara Tan Jie-Ee Wei dan Yan Zhe-Dong Ping esok sekadar memburu juara kumpulan setelah kedua-dua beregu sudah mengesahkan slot ke separuh akhir.
Sementara itu dalam acara beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menundukkan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin dari Taiwan dengan straight-set 21-18, 21-19, sekali gus membuka peluang untuknya mengisi slot ke separuh akhir.
Bagaimanapun, beregu negara itu perlu menewaskan jaguh Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dengan straightp-set esok sekiranya mahu mengiringi ke separuh akhir.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga menempuh jalan sukar ke separuh akhir apabila mereka tewas dalam perlawanan kedua bertemu Liang Wei Keng-Wang Chang dari China, 14-21, 18-21.
Esok, mereka perlu menewaskan jaguh India, Rankireddy Satwiksairaj-Sheety Chirag yang kini mengisi tangga teratas Kumpulan B dengan mengumpul dua kemenangan. — Edisi 9

