Friday, June 5, 2026

MCMC, kerajaan negeri bekerjasama jayakan Melaka Pintar 2035

Pelbagai inisiatif utama akan digerakkan melalui MoU berkenaan, antaranya pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, pengukuhan keselamatan awam...

Mesti Baca

USAHA memperkasa pembangunan bandar pintar di Melaka menerima lonjakan baharu apabila Kerajaan Negeri Melaka dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam transformasi digital negeri.

Majlis pertukaran MoU yang berlangsung di Melaka disaksikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Fahmi dalam ucapannya berkata, kerjasama tersebut sejajar dengan pelaksanaan Blueprint Melaka Pintar 2035, yang menjadi kerangka utama menjadikan Melaka sebuah negeri berdaya huni, berdaya tahan serta mampan melalui penggunaan teknologi moden.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif utama akan digerakkan melalui MoU berkenaan, antaranya pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, pengukuhan keselamatan awam, pengurusan trafik melalui Melaka Network Operation and Command Centre, pengurusan pelancongan warisan secara digital, serta pelaksanaan sistem amaran awal banjir berasaskan sensor IoT.

“Penyediaan rangkaian gentian optik, smart pole dan Wi-Fi awam akan meningkatkan akses Internet di seluruh Melaka, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi digital melibatkan sektor pelancongan, peruncitan, logistik dan PKS,” katanya.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad.

Fahmk berkata, pelaksanaan bandar pintar telah terbukti berjaya meningkatkan kualiti hidup rakyat di banyak negara. 

Beliau memberi contoh kejayaan Barcelona yang mengurangkan kesesakan sehingga 20 peratus melalui lampu isyarat pintar, serta Hangzhou yang menggunakan sistem AI City Brain bagi mempercepatkan respons ambulans sehingga 50 peratus.

“Ini adalah bukti jelas bahawa penggunaan teknologi bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan untuk memodenkan perkhidmatan awam, mengukuhkan keselamatan dan merancakkan ekonomi tempatan,” ujarnya.

Menurut beliau, kerjasama tersebut turut menyokong aspirasi menjadikan Melaka sebagai sebuah Bandar Raya Warisan Digital, selaras dengan kedudukannya sebagai negeri warisan negara.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak yang terlibat terus memberikan komitmen bagi memastikan pelaksanaan inisiatif ini berjalan lancar dan memberi manfaat optimum kepada rakyat.

“Insya-Allah, usaha ini akan membawa Melaka ke satu tahap baharu dalam pembangunan digital negara,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan