SEORANG warga emas yang sebelum ini tular tidak mempunyai tempat tinggal dan berkeliaran di sekitar kawasan Restoran Al-Ibrahim Maju, Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur akan dijaga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat sementara waktu.
Menurut JKM, wanita berkenaan akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah jagaan sementara di bawah Seksyen 3(2) Akta Orang Papa 1977 bagi penempatan di Rumah Seri Kenangan Seremban selama sebulan.
“Sepanjang tempoh tersebut, JKM akan menjalankan pencarian waris, pemeriksaan kesihatan lanjut, penempatan serta kerja kes susulan bagi menentukan bentuk intervensi dan tindakan yang sesuai demi kebajikan penama,”kata JKM dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu, JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) telah menerima laporan tentang keberadaan warga emas terbabit pada Isnin dan menyelesaikan kes tersebut pada hari yang sama yang individu tersebut merupakan seorang wanita Melayu warganegara Malaysia.
JKM berkata, hasil siasatan awal mendapati individu berkenaan berada dalam keadaan uzur dan tidak mampu berjalan sendiri di mana pergerakan beliau hanya boleh dilakukan dengan bantuan kerusi roda.
“Difahamkan sebelum ini,penama dijaga oleh seorang rakan, namun telah ditinggalkan sejak minggu lalu,” katanya.
Bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan individu tersebut, kata JKM, warga emas tersebut telah dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan dan mendapati keadaan kesihatannya stabil.
Walau bagaimanapun, jelas beliau, pihak klinik tidak dapat mengesahkan status penyakit tibi yang pernah dihidapi memandangkan penama merupakan pesakit rawatan susulan di Institut Perubatan Respiratori (IPR).
“Selepas pemeriksaan, penama telah dibawa ke institusi JKM iaitu Rumah
Seri Kenangan (RSK) untuk penjagaan sementara selama 24 jam. Bagi
tujuan pencegahan dan kawalan kesihatan, penama telah ditempatkan
secara berasingan daripada penghuni lain,” katanya.
Semalam, atas inisiatif pegawai JKM WPKL, wanita tersebut telah dirujuk dan dibawa ke IPR bagi pengesahan lanjut status kesihatan dan mendapati telah sembuh secara klinikal, namun masih perlu menjalani rawatan susulan dari semasa ke semasa. – Edisi 9

