Sunday, June 14, 2026

Penarafan kredit Malaysia kekal A- dengan tinjauan ‘Stabil’

Kestabilan politik di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai faktor penting yang menggalakkan penggubalan dasar serta konsolidasi fiskal.

Mesti Baca

MALAYSIA kekal berada pada landasan kukuh apabila S&P Global Ratings (S&P) mengekalkan penarafan kredit berdaulat negara pada tahap ‘A-’ dengan tinjauan “Stabil”, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap pengurusan makroekonomi Kerajaan.

Kementerian Kewangan yang memetik laporan S&P berkata, penarafan itu disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang pelbagai, kestabilan politik, momentum pertumbuhan yang mapan, kedudukan luaran yang seimbang serta defisit fiskal yang semakin mengecil.

Agensi penarafan antarabangsa itu menekankan kestabilan politik di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai faktor penting yang menggalakkan penggubalan dasar serta konsolidasi fiskal.

“Tinjauan stabil mencerminkan momentum prestasi pertumbuhan Malaysia dan persekitaran dasar semasa yang mampu meningkatkan prestasi fiskal secara sederhana dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” kata kenyataan MOF hari ini.

Mengulas perkara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus menambah baik kehidupan rakyat dan melaksanakan reformasi ekonomi secara bertanggungjawab.

“Walaupun keadaan luaran kekal tidak menentu, kami beriltizam meneruskan pembaharuan yang akan memartabatkan Malaysia ke tingkat yang lebih tinggi,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada separuh pertama tahun ini, dipacu oleh perbelanjaan isi rumah, pasaran buruh yang memberangsangkan, kadar inflasi terkawal, serta pelancongan domestik yang rancak. 

Manakala pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDKN) Malaysia dijangka kekal kukuh antara 4.0 hingga 4.8 peratus pada 2025.

Selain itu, kedudukan luaran Malaysia terus menjadi kekuatan penarafan apabila lebihan akaun semasa dijangka kekal sekitar 2.1 peratus daripada KDNK dalam tempoh tiga tahun akan datang, disokong oleh sektor pembuatan eksport.

Kerajaan turut menegaskan komitmen meneruskan agenda pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta melaksanakan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 bagi memastikan konsolidasi fiskal kekal berada di landasan yang tepat.

Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan bulan depan akan menjadi belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) 2026–2030. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan