VIETNAM hari ini menyatakan minat untuk mempelajari pengalaman Malaysia dalam pembangunan industri halal, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Hasrat itu dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Tran Hong Ha yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Ahmad Zahid di Kuala Lumpur petang semalam.
Ahmad Zahid berkata, antara menjadi tumpuan Vietnam dalam memajukan industri halal termasuk aspek pensijilan, piawaian serta pembinaan taman industri halal seperti yang berjaya dilaksanakan oleh negara ini.
“Malaysia pula komited untuk berkongsi kepakaran dan menjadi rakan strategik dalam merealisasikan hasrat ini.
“Saya yakin kerjasama Malaysia-Vietnam dalam sektor halal akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala, selain membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan, serta pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya saing,” kata Ahmad Zahid menerusi media sosialnya malam tadi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pertemuan beliau dengan Hong Ha juga memberi ruang untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan.
Ini khususnya dalam mengukuhkan kerjasama strategik, khususnya dalam memperkukuh ekosistem halal di Vietnam. – Edisi 9

