SME Corp. Malaysia dengan kerjasama platform pembiayaan patuh Syariah, microLEAP, melancarkan skim pembiayaan baharu berjumlah RM35 juta bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan modal secara lebih mudah dan berdaya saing.
Menerusi Program Pembiayaan Alternatif BAP 2025, skim tersebut menawarkan pembiayaan sehingga RM400,000 kepada PKS layak dengan kadar keuntungan kompetitif 3.5 peratus setahun.
Menariknya, sehingga 40 peratus daripada jumlah pembiayaan tersebut boleh ditukar kepada geran, tertakluk kepada kelulusan SME Corp. Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Rizal Nainy berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar menyediakan pinjaman, malah memberi insentif tambahan kepada syarikat yang berdisiplin serta menunjukkan prestasi pertumbuhan memberangsangkan.
“Dengan membolehkan sebahagian pembiayaan ditukar kepada geran, kami bukan sahaja meringankan beban bayaran balik, malah melabur dalam masa depan PKS berpotensi tinggi.
“Usaha ini juga selari dengan sasaran meningkatkan bilangan perusahaan kecil menjadi sederhana daripada 1.6 peratus kini kepada lima peratus menjelang 2030,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata, skim tersebut dirangka berdasarkan keperluan sebenar usahawan kecil tanpa syarat membebankan seperti cagaran atau laporan akaun beraudit tiga tahun.
“Jika perniagaan mereka menjana hasil, berkembang dan mampu membayar balik, kami bersedia menyokong mereka. Pembiayaan bukan sahaja perlu mudah diakses dan mampu milik, tetapi juga harus memberi ganjaran kepada disiplin kewangan yang baik,” jelasnya.
Kerjasama SME Corp. Malaysia dengan microLEAP yang bermula sejak 2021 kini mencatat jumlah keseluruhan dana RM70 juta.
Program tersebut memberi tumpuan kepada pembiayaan modal kerja serta penambahbaikan perniagaan termasuk pembelian mesin, penerapan ESG, pensijilan produk, pengiklanan, promosi dan teknologi maklumat.
PKS merangkumi lebih 96 peratus daripada keseluruhan perniagaan di negara ini, namun ramai yang masih kurang mendapat perhatian institusi kewangan tradisional.
Melalui inisiatif ini, SME Corp. dan microLEAP yakin dapat merapatkan jurang berkenaan sekali gus memperkukuh daya saing PKS di pasaran. – Edisi 9

