RAYUAN kemasukan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda ke institusi pengajian tinggi awam dibuka selama 10 hari bermula hari ini sehingga 14 September ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, tawaran kedua itu dibuka kepada semua lepasan Matrikulasi, STPM, Asasi, STAM, Diploma/ Setaraf yang tidak mendapat tawaran sebelum ini.
Menurut KPT, rayuan boleh dikemukakan menerusi UPUOnline bermula 12 tengah hari tadi sehingga 5 petang 14 September.
“Pada tahun ini, KPT telah menerima 109,866 permohonan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda menerusi UPUOnline.
“Seramai 78,883 calon (71.80 peratus) telah ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian,” kata KPT dalam kenyataan.
Secara keseluruhannya, sebanyak 1,132 program pengajian Ijazah Sarjana Muda telah ditawarkan bagi sesi kali ini.
Jelas KPT, kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.
“Pihak Kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya,” katanya. — Edisi 9

