Thursday, June 4, 2026

ASEAN perlu kekal blok berpaksi kepercayaan, semangat solidariti

ASEAN bukan sekadar aspirasi diplomatik, tetapi keperluan asas untuk memastikan autonomi dan maruah rantau ini tidak digugat - Anwar Ibrahim

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ASEAN mesti kekal menjadi tunggak keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini meskipun berdepan cabaran geopolitik dan ekonomi dunia yang semakin mencabar.

Menurut beliau, sejak penubuhannya pada 1967, ASEAN telah membina reputasi sebagai sebuah blok serantau yang berpaksikan kepercayaan, dialog dan semangat solidariti sehingga berjaya menguruskan ketegangan, mengelakkan konflik serta memacu pertumbuhan di rantau yang paling berbilang budaya di dunia.

“ASEAN bukan sekadar aspirasi diplomatik, tetapi keperluan asas untuk memastikan autonomi dan maruah rantau ini tidak digugat.

“Dengan semangat kesabaran serta diplomasi berprinsip, kita mampu mempertahankan suara bersama,” katanya dalam satu artikel yang diterbitkan oleh laman pendapat global, Project Syndicate.

Beliau merujuk kejayaan ASEAN baru-baru ini apabila Malaysia memediasi pertemuan antara pemimpin Kemboja dan Thailand ekoran insiden pertempuran di sempadan kedua-dua negara. 

Kata Perdana Menteri, melalui penglibatan konstruktif Amerika Syarikat dan China, ASEAN berjaya merintis gencatan senjata segera yang membuktikan nilai dialog serta penghormatan bersama.

Anwar turut memaklumkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada Mei lalu mencatat sejarah apabila kesemua negara anggota bersetuju menerima Timor-Leste sebagai ahli baharu ke-11 menjelang akhir tahun ini.

Dalam bidang ekonomi, Perdana Menteri menegaskan ASEAN mesti memperkukuh keterbukaan pasaran, melaksanakan pembaharuan perdagangan serta melaksanakan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) secara berkesan.

“Ketika proteksionisme dan perang tarif mengancam pertumbuhan global, ASEAN harus memilih jalan berbeza – meningkatkan keterbukaan, mengukuhkan rantaian bekalan serta memastikan perdagangan memberi manfaat inklusif dan lestari,” jelas beliau.

Beliau berkata, tumpuan ASEAN juga kini meliputi pembangunan ekonomi digital, penyelarasan tenaga hijau melalui projek ASEAN Power Grid, serta usaha memodenkan kerjasama dengan rakan luar seperti China, India, Korea Selatan dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“ASEAN tidak boleh menjadi pemerhati semata-mata. Kita mesti membina masa depan sendiri dengan keberanian, pandangan jauh dan solidariti. 

“Dengan berpaut kepada nilai asas penubuhan dan menyesuaikan diri dengan realiti baharu, ASEAN akan terus menjadi mercu tanda keamanan dan kemakmuran generasi mendatang,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan