Tuesday, July 21, 2026

Tiga lagi tapak di Malaysia diiktiraf Taman Warisan ASEAN

Tiga tapak tersebut ialah Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pahang, Taman Negara Bako, Sarawak dan Taman Negara Bukit Lambir juga di Sarawak.

Mesti Baca

TIGA lagi kawasan perlindungan di Malaysia diiktiraf sebagai Tapak Warisan ASEAN (AHP) yang diputuskan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Alam Sekitar Ke-18 (AMME-18) yang berlangsung di Langkawi, Kedah pada Rabu.

Tiga tapak tersebut ialah Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pahang, Taman Negara Bako, Sarawak dan Taman Negara Bukit Lambir juga di Sarawak.

Pengiktirafan yang diterima Malaysia itu menambah bilangan AHP sedia ada iaitu Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak; Taman Negara Kinabalu, Sabah; Taman Negara (Pahang, Kelantan dan Terengganu) pada tahun 1984; serta Taman Negara Johor Endau Rompin pada 2022.

“Pengiktirafan itu meletakkan Malaysia terus memperkukuhkan usaha dan komitmen dalam pemuliharaan biodiversiti di peringkat serantau,” kata Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Johari itu, turut mengiktiraf tiga tapak baharu di Vietnam iaitu Xuan Thuy National Park, Pu Mat National Park dan Dong Nai Culture and Nature Reserve.

AHP merupakan inisiatif ASEAN yang menekankan pemuliharaan biodiversiti, ekosistem unik dan khazanah alam sekitar rantau ini.

“Dengan pengiktirafan ini, Malaysia bukan sahaja mengukuhkan usaha konservasi di peringkat nasional, malah memperkukuh kerjasama serantau dalam aspek teknikal, penyelidikan, serta perkongsian amalan terbaik,” katanya.

Pengiktirafan ini juga menyokong Tindakan 8.5, Sasaran 8, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022–2030, iaitu memperkasa usaha mendapatkan pengiktirafan kawasan berkepentingan antarabangsa bagi pemuliharaan kepelbagaian biologi.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) selaku national focal point kepada program AHP merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan Pahang dan Sarawak di atas kejayaan ini. 

Kejayaan ini menunjukkan usaha kolaboratif semua pihak khususnya pihak berkuasa kawasan perlindungan yang berkaitan iaitu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia dan Sarawak Forestry Corporation (SFC). 

Pencapaian ini amat bermakna bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, sekaligus menyerlahkan kepimpinan Malaysia untuk terus menerajui agenda biodiversiti serantau.

NRES menyambut baik sebarang usaha yang diambil oleh Kerajaan-kerajaan Negeri pada masa akan datang untuk mencalonkan kawasan-kawasan yang berpotensi sebagai tapak AHP atau tapak-tapak berkepentingan biodiversiti antarabangsa seperti Ramsar, Man and the Biosphere (MAB) dan East Asian-Australasian Flyway Partnership (EAAFP).

Dengan pengiktirafan ini, Malaysia yakin ia akan meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa, memperkukuh kerjasama ASEAN dalam bidang biodiversiti dan memastikan warisan alam semula jadi terus dilindungi untuk generasi akan datang. — Edisi 9

Related posts:

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan