PELAKSANAAN Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjalan lancar pada hari keempat dengan jumlah jualan mencecah RN117.1 juta hari ini.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, jumlah tersebut membabitkan 1.8 juta penerima, mengatasi transaksi 2 September yabg merekokan RM76.8 juta melibatkan 1.1 juta penerima.
“Kadar transaksi berjaya juga meningkat kepada 99.7 peratus berbanding 95 peratus pada 2 September 2025.
“Usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang tiga hari lalu, telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai pada hari ini,” kata MOF dalam kenyataan malam ini.
Secara keseluruhan sejak pelaksanaan Penghargaan SARA pada 31 Ogos lalu, lebih 4.8 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA dan SARA dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM312.6 juta di seluruh negara.
Sebelum ini MOF menjelaskan, peningkatan mendadak jumlah transaksi menyebabkan sistem MyKasih berdepan lonjakan trafik sehingga 2,000 transaksi diluluskan seminit, berbanding rekod 540 transaksi seminit pada April lalu.
Bagi memastikan kelancaran, kapasiti pemprosesan sistem telah dipertingkatkan daripada 5,000 kepada 15,000 transaksi seminit.
Penambahbaikan tersebut dijangka mempercepatkan proses transaksi sekaligus meningkatkan keselesaan pengguna. — Edisi 9

