Thursday, July 23, 2026

UMNO tubuh pasukan khas tambah baik RUU PSB

Pasukan diketuai oleh Naib Presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU tersebut sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar.

Mesti Baca

UMNO menubuhkan pasukan khas bagi penambahbaikan Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang sebelum ini ditangguhkan pembentangannya di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan khas diketuai oleh Naib Presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani itu bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU tersebut secara terperinci sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar.

“Konvensyen Melayu Bandar ini bakal melibatkan kepimpinan tertinggi UMNO daripada negeri-negeri dan Bahagian-Bahagian seluruh Malaysia, parti-parti politik Melayu, NGO, ahli akademik dan masyarakat sivil yang akan diadakan pada penghujung bulan September,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, resolusi konvensyen itu nanti akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tindakan selanjutnya.

Minggu lalu ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sepakat agar bacaan kedua RUU PSB ditangguhkan sementara dengan mengambil kira kebimbangan banyak pihak.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang membawakan usul tersebut di Dewan Rakyat berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.

Antara aspek yang perlu diperhalusi termasuk tahap persetujuan bagi projek pembaharuan, skop kuasa eksekutif serta penentuan nilai ambang yang boleh menjejaskan hak pemilik. 

Tindakan BN itu mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang sebelum ini lantang menolak penggubalan RUU PSB tersebut, termasuk mengerahkan orang ramai mengadakan perhimpunan di jalanan. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan