Sunday, July 19, 2026

Ahli Parlimen BN minta perbaiki semula RUU PSB secara inklusif

Tahap persetujuan bagi projek pembaharuan, skop kuasa eksekutif dan penentuan nilai ambang yang boleh menjejaskan hak pemilik perlu diperhalusi.

Mesti Baca

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta agar Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang ditangguh pembentangannya di Parlimen agar diperbaiki semula secara inklusif.

Beliau berkata, Ahli-ahli Parlimen BN sepakat beberapa peruntukan dalam RUU itu perlu diperhalusi semula, khususnya berhubung tahap persetujuan bagi projek pembaharuan, skop kuasa eksekutif, serta penentuan nilai ambang yang boleh menjejaskan hak pemilik. 

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ini kerana peruntukan tersebut berpotensi mengganggu hak autonomi negeri serta mengugat kestabilan komuniti.

“Ahli-ahli Parlimen BN secara sebulat suara menyambut baik penangguhan ini dan menyeru agar ruang yang ada dimanfaatkan dengan melaksanakan libat urus yang lebih menyeluruh bersama semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh.

“BN menegaskan keperluan untuk memperluas rundingan bersama Kerajaan Negeri, penduduk asal serta pakar perancangan bandar agar suara rakyat dari semua lapisan dapat diambil kira,” katanya hari ini.

Bagaimanapun Zahid berkata, BN merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan kerana menerima permintaan Ahli-ahli Parlimen BN bagi menangguhkan pembentangan RUU PSB  Undang-Undang Pembaharuan hingga ke persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Beliau berkata, pandangan BN menekankan bahawa sebarang transformasi bandar bukan sekadar soal pembangunan fizikal semata-mata, tetapi juga mesti adil, berimbang, dan selaras dengan prinsip Perlembagaan.

“Walaupun RUU ini penting bagi masa depan pembangunan negara, BN turut meminta agar dikaji secara teliti supaya ia benar-benar membawa manfaat holistik kepada semua rakyat dan komuniti yang terlibat,” katanya.

Semalam, kerajaan membuat keputusan menangguhkan pembentangan RUU PSB setelah mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk pihak pembangkang, wakil kerajaan dan NGO.

RUU PSB pertama kali dibentang ke Dewan Rakyat pada Khamis lalu, oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat, RUU itu sepatutnya dibentang untuk bacaan kali kedua petang semalam sebaik selesai urusan RUU Pekerja Gig 2025. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan