EKSPO Usahawan Selangor (SELBIZ) kembali dengan edisi keempat pada 28 hingga 30 November ini di Shah Alam Convention Centre (SACC), menampilkan pengisian ekonomi dan hiburan yang lebih segar.
Penganjuran oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) kali ini melantik KRU Studios Sdn. Bhd. sebagai pengurus acara rasmi, dengan tema Festival Inovasi.
Menurut Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Yuzawati Yusof, SELBIZ 2025 kekal sebagai platform strategik pemadanan perniagaan antara syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan serta agensi kerajaan dengan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Fokus kami bukan hanya pada pasaran domestik, tetapi juga membuka laluan PMKS Selangor menembusi pasaran antarabangsa.
“SELBIZ turut menekankan penggunaan teknologi digital dalam memperkukuh daya saing usahawan,” katanya dalam sidang media semalam.
Selain peluang perniagaan, pengunjung turut disajikan pelbagai pengisian menarik termasuk zon pempamer berteknologi tinggi, program Family Fun Run, pertandingan e-Sukan serta aktiviti interaktif mesra keluarga.
Tarikan utama ialah Konsert Gempak SELBIZ selama tiga malam yang menampilkan barisan artis popular seperti Dayang Nurfaizah, Haqiem Rusli, Adira Suhaimi, Black Hanifah, Nabila Razali dan Zarul Umbrella.
Persembahan maskot animasi terkenal Didi & Friends dan Umar & Hana turut dijayakan bersama kemunculan maskot baharu iaitu Zan Orangutan dan Kikako Kids.
Sementara itu Pengurus Acara SELBIZ 2025, Datuk Norman Abdul Halim berkata, edisi kali ini bakal tampil dengan kelainan menerusi strategi penjenamaan dan kandungan program lebih segar.
“Selain hiburan, pelbagai tawaran menarik daripada pempamer dan hadiah cabutan bertuah turut menanti pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran,” jelasnya.
SELBIZ merupakan inisiatif strategik Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkasa PMKS dari segi pasaran, jaringan perniagaan dan daya saing.
Tahun lalu, SELBIZ berjaya menarik lebih 36,000 pengunjung dengan penyertaan 200 usahawan, mencatatkan hasil jualan melebihi RM3.55 juta. — Edisi 9

