PENARAFAN semula kredit korporat Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) oleh RAM Ratings mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai peneraju pembiayaan teknologi negara, didokong oleh sokongan kukuh kerajaan dan asas kewangan yang teguh.
Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Rizal Fauzi berkata, penarafan itu juga mencerminkan peningkatan prestasi kewangan pada tahun 2024 serta rekod konsisten MDV dalam menyokong syarikat berasaskan teknologi dan syarikat pemula niaga di Malaysia.
Beliau berkata, ini terutamanya dalam sektor-sektor dalam mandat MDV yang lazimnya kurang mendapat akses pembiayaan daripada institusi kewangan konvensional.
“Penarafan tersebut turut merangkumi Program Kertas Komersial/Nota Jangka Sederhana Konvensional dan Islam bernilai RM2 bilion yang pertama kali diterbitkan pada 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pembiayaan MDV juga terus memainkan peranan penting dalam memacu inovasi, memajukan agenda digital negara serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
“Pengesahan semula penarafan AA3/Stable/P1 membuktikan MDV berada di landasan yang tepat dalam rancangannya untuk memperkukuhkan sokongan kepada sektor-sektor utama yang diberi mandat oleh kerajaan, meliputi ICT, bioteknologi, teknologi hijau, teknologi baharu dan syarikat pemula niaga.
“Seiring dengan langkah negara dalam mempercepatkan peralihan tenaga, MDV juga bersedia untuk membiayai lebih banyak syarikat yang melaksanakan projek peralihan tenaga dan pertumbuhan digital yang selaras dengan agenda inovasi serta kelestarian jangka panjang negara,” katanya.
Beliau menambah, penarafan itu bukan sahaja membuktikan keupayaan MDV untuk mendapatkan dana luaran, malah turut menunjukkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap peranan MDV sebagai pembiaya teknologi utama negara.
“Dengan penarafan program sukuk dan bon RM2 bilion, kapasiti kami untuk membiayai industri mandat berimpak tinggi kini semakin kukuh,” katanya.
Sejak kali pertama menerima penarafan kredit pada 2019, MDV telah berusaha mencapai kemandirian kewangan di samping melaksanakan misi strategik untuk merapatkan jurang pembiayaan dalam sektor teknologi yang kurang diberi perhatian.
Usaha ini termasuk menyokong projek-projek inovatif dalam sektor mandatnya yang penting untuk mempelbagaikan asas ekonomi Malaysia serta membangunkan industri berpotensi tinggi.
Dengan penarafan ini, MDV berada pada kedudukan yang lebih baik untuk terus memacu transformasi negara dalam teras teknologi.
Keupayaan MDV dapat diperkasakan bagi memastikan sokongan berterusan disalurkan kepada penerimagunaan teknologi, pertumbuhan lestari dan ketahanan ekonomi dalam kerangka ekonomi negara yang lebih menyeluruh.

