RESTORAN Banglo 289, jenama masakan kampung autentik dengan tagline “Masakan Kampung, Chara Orang Dulu-Dulu”, meraikan tiga detik penuh bermakna, serentak dengan pembukaan rasmi cawangan ketiga di IOI City Mall Putrajaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Infra Alfa Sdn Bhd, pemilik Banglo 289, Shareen Farzida Sukri berkata, pembukaan itu bukan sahaja menandakan kejayaan pengembangan perniagaan Banglo 289 selepas memiliki dua cawangan di Kuala Lumpur.
Malahan, beliau berkata, ia bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68 serta ulang tahun ketiga penubuhan Banglo 289 sejak pembukaan sulung di Jalan Raja Chulan.
“Pembukaan ini (di Putrajaya) bukan sekadar menambah cawangan baharu tetapi usaha kami menawarkan pengalaman menikmati masakan kampung yang sebenar pada harga setara makanan di restoran segera, tetapi tanpa kompromi dari segi kesegaran, kualiti dan rasa,” katanya hari ini.
Antara menu ikonik Banglo 289 ialah daging salai masak lemak cili api, ikan patin masak tempoyak, pelbagai jenis asam pedas, ulam-ulaman, pelbagai kuih-muih serta lebih 50 jenis lauk-pauk kampung yang dimasak segar setiap hari.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Infra Alfa, Ain Razali berkata, keunikan Banglo 289 terletak pada terhadap keaslian.
Ini kerana kata beliau, semua bahan dan ramuan memasak yang asli dan segar dari pasar setiap pagi malahan daging salai yang menjadi kegemaran pelanggan juga disalai sendiri.
“Setiap hidangan dimasak dalam kuantiti yang kecil secara berperingkat supaya pelanggan menikmati makanan yang panas terus dari dapur, bukan dipanaskan semula,” jelas beliau.
Terletak di lokasi strategik yang menjadi tumpuan komuniti Putrajaya, Bangi, Kajang dan sekitarnya, IOI City Mall dijangka memperkukuh kedudukan Banglo 289 sebagai destinasi pilihan keluarga untuk menikmati masakan kampung berkualiti dalam suasana moden dan mesra pelanggan.
Dengan pengembangan ini, Banglo 289 mengukuhkan lagi jenamanya sebagai destinasi utama untuk pecinta masakan kampung autentik di Malaysia. – Edisi 9

