FGV Holdings Berhad (FGV) secara rasmi keluar daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia berkuat kuasa 9 pagi ini.
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berkata, langkah tersebut dibuat selepas saham syarikat digantung daripada dagangan pada 25 Ogos lalu.
Menurut Felda, sehingga kini agensi itu bersama Persons Acting in Concert (PACs) telah memiliki 95.29 peratus daripada jumlah keseluruhan saham FGV.
“Langkah ini menandakan permulaan fasa baharu bagi Felda dalam memperkukuh struktur korporat, mengoptimumkan operasi ladang serta meningkatkan pulangan ekonomi kepada Felda dan pemegang taruh utama iaitu peneroka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Felda berkata, perkembangan terbaharu itu membolehkan lembaga itu boleh mengawal rantaian nilai industri sawit sepenuhnya.
Katanya, ini termasuk pengurusan hasil dan kos operasi ladang, sekaligus meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan kos, serta memaksimumkan pulangan secara konsisten.
Sementara itu, para pemegang saham yang menolak Tawaran Pengambilalihan Sukarela Tanpa Syarat (Dissenting Holders) masih boleh melaksanakan hak bagi menjual pegangan saham FGV kepada Felda sehingga 15 Januari 2026 sebelum pukul 5 petang, selaras notis kepada pemegang saham bertarikh 22 Ogos lalu.
“Felda yakin dengan penyusunan semula ekosistem Kumpulan Felda secara menyeluruh, pertumbuhan yang lebih mampan dapat dipacu, daya saing di peringkat global dapat dipertingkat, dan kesejahteraan komuniti peneroka akan terus terjamin untuk jangka masa panjang,” katanya. — Edisi 9

