KFC Malaysia menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dengan cara tersendiri apabila 14 cawangan terpilih di seluruh negara dihiasi mural berwarna-warni hasil sentuhan 11 pelukis tempatan berbakat.
Inisiatif bersempena Kempen Merdeka 2025 QSR Brands itu menjadikan restoran KFC sebagai kanvas seni, dengan setiap mural menampilkan tema “KFC Cara Kita” – meraikan cara unik rakyat Malaysia menikmati hidangan KFC mengikut identiti negeri masing-masing.
Ketua Pegawai Pemasaran KFC Malaysia, Hanim Mazam berkata, mural tersebut bukan sekadar lukisan, sebaliknya menggambarkan kebanggaan rakyat Malaysia yang terpahat dalam ruang restoran KFC.
“KFC Cara Kita adalah refleksi sebenar kreativiti rakyat Malaysia. Karya seni ini menjadi bukti detik-detik bermakna rakyat bersama kami sejak sekian lama,” katanya ketika pelancaran di KFC Pandu Lalu Seksyen 2, Shah Alam.
Antara pelukis yang terlibat ialah Katun, Nas Suha, Bingka KL dan Haw, masing-masing menampilkan gabungan seni jalanan, ilustrasi budaya, serta penceritaan moden.
Mural berkenaan turut diserikan dengan elemen tradisi, mercu tanda, dialek negeri serta nostalgia hidangan kegemaran keluarga.
Selain mural, rakyat Malaysia turut boleh mendapatkan Charm Touch ’n Go edisi terhad KFC Cara Kita yang direka oleh Bingka, ditawarkan secara eksklusif melalui aplikasi KFC.
Ketua Pegawai Komunikasi Korporat QSR Brands (M) Holdings Bhd, Anis Yusof menegaskan bahawa kempen itu mencerminkan peranan QSR sebagai jenama tempatan yang menyatukan rakyat melalui makanan dan komuniti.
“Merdeka mengingatkan kita tentang perpaduan, ketabahan, dan kemajuan. Kami mahu menyumbang kepada naratif Malaysia melalui kreativiti, komuniti, dan pendidikan,” jelasnya.
Sebagai sebahagian kempen, QSR turut melaksanakan program QSR Prihatin yang membawa semangat Merdeka ke sekolah-sekolah. Seramai 500 murid SK Seberang Takir, Terengganu dan SK Tabuan Ulu, Sarawak diraikan dengan hidangan KFC dan Pizza Hut, kelengkapan sekolah serta aktiviti patriotik.
QSR Brands juga melibatkan warga kerja melalui pertandingan “Surat Cinta Untuk Malaysia” selain menyalurkan sumbangan barangan bernilai RM2.8 juta kepada Kementerian Komunikasi untuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
Bagi menambahkan lagi keceriaan, KFC turut menawarkan Dua Hidangan Kegemaran Rakyat Malaysia pada harga simbolik RM6.80 iaitu sempena ulang tahun kemerdekaan ke-68 negara. — Edisi 9

