Tuesday, July 21, 2026

Zahid ingatkan Pemuda UMNO bukan hanya berdepan parti politik

Cabaran mereka lebih rumit kerana perlu berdepan dengan algoritma media sosial, persepsi yang dimanipulasi dan politik pascakebenaran yang mengangkat sentimen melebihi fakta.

Mesti Baca

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Pemuda UMNO bahawa mereka bukan hanya berdepan dengan lawan daripada parti politik.

Sebaliknya, tegas Presiden UMNO, hari ini cabaran mereka lebih rumit kerana perlu berdepan dengan algoritma media sosial, persepsi yang dimanipulasi dan politik pascakebenaran yang mengangkat sentimen melebihi fakta.

Beliau berkata, selama lebih tujuh dekad, Pemuda UMNO adalah benteng apabila parti diasak, menjadi lidah paling lantang apabila maruah bangsa dicabar dan merupakan tenaga paling ampuh apabila rakyat perlukan pembelaan.

“Sebagai pemimpin yang lahir dari kilang Pemuda, saya amat memahami kepelbagaian latar dan kerencaman yang ada di dalam institusi ini.

“Lalu kita dihimpunkan sebagai pewaris legasi sebuah perjuangan ini atas semangat kecintaan terhadap agama, bangsa dan tanah air,” katanya sempena Ulang Tahun Pemuda UMNO Ke-76 yang diraikan hari ini.

Zahid berkata, Pemuda UMNO tidak boleh hanya menjadi barisan sorak sebalikanya mereka mesti mencipta game changer serta menjadi narrative engine yang membina wacana, membentuk pengaruh dan menguasai psikologi massa.

Jelas beliau, berbeza pandangan dalam parti itu biasa manakala kritikan pula sebagai tanda kecaknaan terhadap sayap parti itu.

Namun, kata beliau, fokus paling utama adalah bagaimana Pemuda mendekati generasi Z dan Alpha agar mereka merasai bahawa UMNO memahami dan menjiwai kehendak serta menjadi sandaran mereka.

Zahid juga berharap menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi, beliau berharap Pemuda UMNO dapat menjadi benteng hadapan yang gagah serta memimpin dengan semangat juang yang tidak pernah padam agar UMNO kekal relevan dan dapat terus menabur khidmat bakti dan jasa.

“Semoga ulang tahun ke-76 ini menjadi pemangkin untuk Pemuda memperkukuh saf, memperluas pengaruh dan melakar kejayaan yang lebih besar buat UMNO dan Malaysia tercinta.

“Bangkitlah Pemuda dengan jiwa yang ikhlas, hati yang berani dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi demi agama, bangsa dan ibu pertiwi,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan