Wednesday, June 17, 2026

Dakwaan Haim Hilman sembrono, tak bertanggungjawab – Zambry

"Saya menasihatkan beliau agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan berhubung apa-apa isu termasuk yang berkaitan dengan pendidikan tinggi."

Mesti Baca

DAKWAAN Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah konon Malaysia bersetuju mempertimbangkan Graduate Pass kepada 10,000 pelajar Bangaldesh di negara ini sebagai sembrono dan tidak bertanggungjawab.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebagai seorang berlatarkan akademik, beliau seharusnya membuat kenyataan berdasarkan fakta yang benar, tepat, dan sahih, bukannya spekulasi atau menyebarkan maklumat semberono.

Beliau berkata, Haim Hilam yang juga bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu seharusnya berpegang kepada prinsip akademik yang menuntut kepada informasi yang berintegriti, bertepatan dan kebenaran.

“Saya menasihatkan beliau agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan berhubung apa-apa isu termasuk yang berkaitan dengan pendidikan tinggi.

“Hanya berdasarkan laporan surat khabar di Bangladesh, beliau telah membuat tuduhan bahawa saya telah bersetuju untuk mempertimbangkan ‘Graduate Pass’ kepada 10,000 pelajar Bangladesh di Malaysia untuk membolehkan mereka bekerja di sini.

“Tuduhan tersebut adalah tidak benar dan tidak tepat sama sekali,” tegas Zambry dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, semasa lawatan Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus ke Malaysia baru-baru ini, tidak ada sebarang Memorandum Persefahaman (MoU) atau perjanjian ditandatangani yang mengikat Malaysia untuk menerima 10,000 pelajar Bangladesh bekerja di negara ini.

Katanya, dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Inovasi itu bahawa wujud perjanjian sedemikian adalah tidak berasas.

“Kenyataan beliau yang mendakwa kononnya rakyat resah kerana Malaysia telah bersetuju dengan perkara ini adalah sangat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Zambry menegaskan agar ADUN Jitra itu tidak sewenang-wenangnya mencipta persepsi dengan menyampaikan maklumat yang tidak tepat serta mengelirukan rakyat.

“Budaya menghasilkan ‘content’ (kandungan) untuk diviralkan di media sosial dengan fakta yang salah perlu segera dihentikan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan