DUA pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakar sejarah agensi sebagai penerjun pertama selepas 20 tahun sejak skuad elit itu ditubuhkan.
Ini setelah Komander STAR Team, Kepten Maritim Syuzefril Mat Noor dan Ketua Skuadron Gempur Sabah & Sarawak, Leftenan Komander Maritim Nik Muhamad Hafizan Nik Muhamad Zawawi berjaya menamatkan Kursus Asas Payung Terjun Static Ram Air anjuran Pasukan Khas Udara (PASKUB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Kursus intensif dengan kerjasama jurulatih penerjunan bertauliah daripada Unit 69 Komando, Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menyaksikan 15 peserta terdiri daripada pelbagai agensi keselamatan negara.
Selain dua pegawai STAR Team Maritim Malaysia, turut menyertai kursus tersebut termasuk seorang Pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM, manakala selebihnya daripada PASKUB Bomba.
Menuru Maritim Malaysia, penyeryaan julung kali STAR Team dalam kursus terjunan itu menjadi detik bersejarah selepas 20 tahun pasukan elit Maritim Malaysia itu ditubuhkan.

“Ia membawa objektif besar bagi memperkukuh keupayaan taktikal dan kepakaran udara operator STAR Team dalam misi khas maritim,” kata kenyataan itu.
Upacara pemakaian sayap kepakaran terjunan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Ts Nor Hisham Mohammad sempena Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya hari ini.

Hadir sama hadir Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim R. Vincent.
Maritim Malaysia berkata, kejayaan itu menandakan kerjasama strategik antara STAR Team Maritim Malaysia dan PASKUB Bomba, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha meningkatkan profesionalisme dan kesiapsiagaan aset elit negara di medan operasi sebenar.
Kursus intensif itu berlangsung di Lapangan Terbang Lama, Tekah, Taiping, Perak dari 10 hingga 22 Ogos lalu.
Dalam tempoh latihan, para peserta berjaya melaksanakan 13 kali terjunan dari ketinggian 4,000 kaki, menggunakan pesawat Mi-17-IV (M994-01) BOMBA 01 sebagai platform rasmi terjunan. — Edisi 9

