Wednesday, June 17, 2026

MCMC, MMU labur RM37 juta tubuh AIX sebagai hab nasional AI

AIX bukan sahaja menyediakan fasiliti berteknologi tinggi, tetapi juga berperanan sebagai pelantar strategik yang menyatukan kepakaran akademia, industri serta kerajaan.

Mesti Baca

MALAYSIA mengorak langkah besar dalam bidang kecerdasan buatan (AI) apabila Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) di Multimedia University (MMU) dilancarkan hari ini dengan sokongan pelaburan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan universiti itu berjumlah RM37 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana berkenaan digunakan bagi menubuhkan Pusat Transformasi AI (AIX), iaitu hab nasional yang bakal menjadi nadi pembangunan dan penerokaan teknologi AI di negara ini.

Menurut beliau, AIX bukan sahaja menyediakan fasiliti berteknologi tinggi, tetapi juga berperanan sebagai pelantar strategik yang menyatukan kepakaran akademia, industri serta kerajaan.

“Ia menggabungkan dunia akademia, industri, dan kerajaan dalam satu pakatan strategik bagi memacu inovasi, membina keupayaan termaju, serta memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja negara.

“Penyatuan strategik ini memastikan Malaysia bukan sahaja seiring dengan perubahan digital global, malah memimpin dengan tujuan dan impak yang jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan FAIE di Dewan Tun Canselor MMU, Cyberjaya, hari ini.

Hadir sama Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud.

Menurut Anwar, langkah itu penting untuk memperkukuh keupayaan penyelidikan, pembangunan serta aplikasi AI secara meluas merentasi pelbagai sektor.

Katanya, pelaburan itu juga membuktikan kesungguhan kerajaan dan MCMC dalam membina asas kukuh untuk Malaysia muncul sebagai peneraju serantau dalam bidang AI.

“Ini bukan sekadar sebuah kemudahan, tetapi tonggak kepada ekosistem digital negara yang berupaya melahirkan tenaga mahir, memacu inovasi dan memastikan rakyat kita tidak sekadar menjadi pengguna, sebaliknya turut menjadi pencipta teknologi,” katanya.

Dalam majlis itu juga, Anwar mengumumkan pewujudan MCMC Intelligence Chair di MMU sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan akademia.

Beliau berkata, inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan dalam bidang AI, selain berfungsi sebagai pusat rujukan nasional yang dapat memacu pengkomersialan hasil inovasi tempatan.

“Kita mahu tenaga pakar tempatan mampu menyumbang kepada penyelesaian masalah sebenar rakyat dan industri melalui penggunaan AI. Peranan MCMC Intelligence Chair akan menjadi pemangkin dalam membina kapasiti serta memperkaya ekosistem penyelidikan negara,” jelasnya.

Anwar menegaskan, usaha MCMC dan MMU itu seiring dengan dasar kerajaan MADANI yang menekankan pembangunan teknologi digital berasaskan pengetahuan, inovasi dan etika.

“Malaysia tidak boleh hanya menjadi penonton dalam ledakan AI global. Sebaliknya, kita mesti berada di barisan hadapan sebagai peneraju yang memastikan teknologi ini dimanfaatkan secara adil, telus dan beretika,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Telekom Malaysia (TM) dan MMU atas komitmen strategik yang jelas dalam memacu bidang pendidikan digital, khususnya melalui penubuhan fakulti baharu itu. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan