SEJARAH tercipta buat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) apabila kerja pembinaan Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) iaitu kapal terbesar pernah dimiliki agensi itu, bermula secara rasmi di limbungan Desan Kaptanoğlu Shipyard, Turkiye.
Upacara Keel Laying disempurnakan Pengarah Bahagian Kejuruteraan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rizal Hishamuddin bersama Pengarah Projek MPMS, Kepten Maritim Mohammad Nasir Man semalam menandakan bermulanya proses pembinaan kapal bernilai USD68.8 juta itu.
Mohd Rizal berkata, upacara itu merupakan tradisi dalam industri pembinaan kapal yang menandakan bermulanya aktiviti penyambungan blok-blok utama kapal di limbungan selepas majlis steel cutting yang telah diadakan pada 9 Julai lalu.
“Fasa awal Keel Laying ini melibatkan pemasangan blok 107, 108, 207 dan 208 yang membentuk bahagian tengah kapal.
“Tradisi Keel Laying ini tanda bermulanya proses penyambungan blok utama dan membawa simbolik tersendiri kepada pembinaan sebuah aset strategik negara,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.
Dengan ukuran 99 meter panjang dan 17 meter lebar, MPMS direka untuk beroperasi di laut dalam sehingga 28 hari tanpa ulang bekal, bakal melaksanakan pengawasan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), serta memantau kawasan yang tidak dapat dicapai oleh kapal-kapal kecil.
Kapal ini bakal dilengkapi pelbagai teknologi pertahanan canggih termasuk kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), meriam 30mm, radar X dan S band, tapak pendaratan helikopter, sebuah Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB), serta empat bot Fast Interceptor Craft.
“MPMS mampu bergerak pada kelajuan 20 knot dan menempatkan 70 anak kapal bersama 20 penumpang, selain memiliki kemudahan bilik rawatan dan bilik tahanan,” tambah beliau.
Projek ini turut mendapat kerjasama syarikat industri pertahanan gergasi Turkiye seperti Aselsan dan Havelsan yang bertanggungjawab terhadap integrasi sistem persenjataan, elektronik dan komunikasi canggih.
Sementara itu Pengerusi Lembaga Desan Kaptanoğlu Shipyard, Cenk İsmail Kaptanoğlu berkata, pencapaian ke tahap Keel Laying dalam tempoh singkat selepas kontrak dimeterai pada 20 Mei 2025 adalah bukti kecekapan dan komitmen semua pihak.
“Blok keluli yang dipasang hari ini bukan sahaja menjadi tulang belakang MPMS, malah menjadi simbol hubungan strategik dan kesungguhan Turkiye–Malaysia memperkukuh keselamatan maritim.
“Seperti projek-projek kami sebelum ini, kami yakin MPMS ini dapat diserahkan lebih awal daripada jadual pada Mac 2027,” katanya.
Apabila siap kelak, MPMS akan menjadi antara aset utama Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara, membanteras jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan aktiviti perikanan haram di laut lepas. — Edisi 9

