PERTUMBUHAN ekonomi Malaysia kekal memberangsangkan pada suku kedua tahun ini, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan perdagangan dan geopolitik global.
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan 4.4 peratus pada Suku Kedua 2025 (S2 2025), sekali gus mengekalkan prestasi sama seperti suku pertama.
Ini menjadikan pertumbuhan bagi separuh pertama tahun ini pada kadar 4.4 peratus, selaras dengan unjuran rasmi antara empat hingga 4.8 peratus.
Permintaan domestik meningkat kepada tujuh peratus pada suku berkenaan berbanding enam peratus sebelumnya, dipacu oleh perbelanjaan isi rumah yang rancak, pasaran buruh kukuh, inflasi yang rendah serta pelaburan sektor swasta yang positif.
Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan berkembang 5.1 peratus berikutan peningkatan aktiviti pelancongan dan perbelanjaan pengguna, manakala sektor pembuatan naik 3.7 peratus disokong pengembangan industri berorientasikan eksport dan pasaran domestik.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi itu membuktikan dasar-dasar di bawah kerangka Ekonomi MADANI membuahkan hasil positif kepada negara dan rakyat.
“Kadar pengangguran susut kepada 3 peratus berbanding 3.1 peratus pada suku sebelumnya, manakala inflasi keseluruhan menyederhana kepada 1.3 peratus berbanding 1.5 peratus pada suku sebelumnya, menggambarkan prospek ekonomi Malaysia yang menggalakkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, ringgit turut mengukuh sebanyak 5.3 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat pada S2 2025, menjadikannya antara mata wang berprestasi terbaik di Asia.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan MADANI kekal komited mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus pada tahun ini sambil terus memantau kesan langkah tarif baharu terhadap industri tempatan.
“Kerajaan MADANI giat memantau potensi impak perkembangan ini dan kekal komited untuk menyediakan sokongan bersasar bagi melindungi daya saing serta meminimumkan gangguan perdagangan,” katanya.
Kementerian Kewangan kini sedang merangka Belanjawan 2026 berlandaskan Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) melalui sesi libat urus menyeluruh bersama pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan pertumbuhan negara kekal mampan dan inklusif. – Edisi 9

