Saturday, June 13, 2026

Tokoh korporat, Rashid Hussain dilantik Presiden UIAM Ke-10

Pelantikan beliau mendapat perkenan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Ketua Perlembagaan UIAM.

Mesti Baca

TOKOH korporat ternama negara, Tan Sri Abdul Rashid Hussain hari ini dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ke-10 bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa mulai hari ini hingga 30 Jun 2028.

Pelantikan beliau mendapat perkenan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Ketua Perlembagaan UIAM.

Beliau menggantikan Tan Sri Samsudin Osman yang telah menamatkan tempoh pelantikan pada 30 Jun 2025.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pelantikan Abdul Rashid dibuat berdasarkan ketokohan serta kewibawaan beliau dalam sektor korporat, khususnya dalam bidang kewangan Islam yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Beliau merupakan pengasas Kumpulan Perbankan Rashid Hussain Berhad (RHB) dan kini menjawat jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Haji sejak 2023. Selain itu, beliau juga bukan asing dalam bidang pendidikan tinggi,” kata KPT.

Abdul Rashid telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Gabenor UIAM sejak 2018 dan kini turut menyandang jawatan Pro-Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sejak 2024.

“KPT yakin dengan pelantikan ini, UIAM akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan ilmu berteraskan nilai-nilai Islam, serta mempertingkat keterlihatan dan daya saing universiti tersebut di peringkat nasional dan antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Samsudin atas segala jasa dan sumbangan beliau sepanjang tempoh menjawat jawatan Presiden UIAM sebelum ini. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan