24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Bekas MB Pahang terima ijazah pada usia 72 tahun

Beliau sebelum ini sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sastera daripada Universiti Malaya pada 1984

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MINAT mendalam terhadap ilmu menjadi pendorong kepada bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob untuk menamatkan pengajian Sarjana Muda Undang-Undang pada usia 72 tahun.

Bukan sekadar tamat pengajian malah Adnan yang merupakan antara 414 graduan penerima ijazah dalam bidang itu hari ini pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ke-38, juga dianugerahkan Rector’s List kerana berjaya menampilkan prestasi cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.62.

Berkongsi perjalanan akademiknya, Adnan berkata, walaupun beliau sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sastera daripada Universiti Malaya pada 1984, beliau bertekad terus mengejar ilmu dalam bidang perundangan pula.

“Ramai orang tanya saya mengapa saya sambung belajar, sebenarnya saya daripada kecil suka mencari ilmu pengetahuan. Itulah sebab walaupun sudah memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang sastera, saya masih berminat untuk melanjutkan pelajaran.

“Sebenarnya saya pernah buat (belajar) undang-undang di sini pada 1984 dan saya termasuk dalam kelompok kedua jurusan ini, tetapi tidak tamat sebab saya dipanggil untuk bertanding pilihan raya pada 1986,” katanya seperti dilaporkan Bernama pada majlis konvokesyen itu di Dewan Utama Pusat Kebudayaan, UIAM, hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan yang berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang dari 1999 hingga 2018 itu berkata beliau seronok dikelilingi rakan-rakanya ketika sedang mengulang kaji pelajaran.

Advertisements

“Saya dapati belajar ini mudah walaupun saya sudah tua. Saya lebih suka dikelilingi oleh kawan-kawan saya. Semasa mereka datang minum kopi, semasa itulah saya belajar kerana ia lebih cepat untuk saya. Ramai orang agak hairan mengapa saya kalau tiada kawan, saya tidak boleh belajar,” katanya.

Menurutnya beliau berjaya menamatkan pengajiannya setelah tiga semester mengikuti pembelajaran secara dalam talian manakala selebihnya secara bersemuka dalam kuliah khas bersama pensyarah.

“Saya diberi tempat yang khusus untuk mengadakan sesi pembelajaran dengan pensyarah, tetapi, saya sempat berkenalan (dengan rakan sejurusan) lain melalui dalam talian. Semua pangkat anak-anak saya, ada yang panggil saya pak long, atok dan sebagainya,” katanya berseloroh.

Apabila ditanya adakah beliau mempunyai perancangan menceburi bidang guaman selepas ini, beliau berkata: “Saya bercadang begitu, besar kemungkinan saya akan buat ‘chambering’ di Kuantan, Insya-Allah,Namun begitu saya kena tengok mungkin ada tawaran tertentu untuk melibatkan diri dalam bidang yang tertentu,” katanya.

Adnan menyertai politik pada 1969 dan telah memegang pelbagai jawatan antaranya Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong dan Ketua UMNO Bahagian Bentong pada 1987 sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada 25 Mei 1999.

Beliau merupakan Menteri Besar Pahang yang paling lama berkhidmat iaitu selama 19 tahun sebelum melepaskan jawatan itu pasca Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan